Anda di sini

Kerajaan tumpu usaha penanaman sawit secara lestari: Teresa Kok

Advertisement
 Teresa (tiga kiri) bergambar kenangan dengan pemenang utama pertandingan filem pendek pada Majlis Penyampaian Hadiah ‘Love Palm Oil 90 ShortFilm Contests’ di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama
TAHNIAH: Teresa (tiga kiri) bergambar kenangan dengan pemenang utama pertandingan filem pendek pada Majlis Penyampaian Hadiah ‘Love Palm Oil 90 ShortFilm Contests’ di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Industri Utama sedang berusaha ke arah penanaman sawit secara lestari bagi membuktikan kepada dunia bahawa ladang sawit, usaha pemuliharaan hidupan liar dan hutan mampu hidup seiringan di Malaysia.

Menterinya, Teresa Kok berkata ini termasuk usaha gigih kerajaan untuk menggalakkan pekebun memperoleh Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan usaha penanaman semula hutan termasuk sejuta pokok di Hutan Simpan Pin Supu, Sabah.

“Bagi menyanggah tuduhan palsu, kita perlu gigih berusaha (menjayakan) MSPO kerana mahu penanam kita mempraktikkan amalan pertanian yang baik. Pada masa sama, kita juga mahu membuktikan kepada dunia bahawa penamanan sawit kita diusahakan mengikut undang-undang dan amalan antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan Filem Pendek 90 bersempena Kempen Sayangi Sawitku, di sini semalam.

Seramai tujuh pemenang dipilih daripada 70 video pendek 90 saat mengenai minyak sawit.

Hadiah pertama RM10,000 dimenangi oleh Izzudin Saedon menerusi ‘The Environmentalist’ manakala hadiah kedua RM5,000 diraih Sashvin Raj Batumalai menerusi ‘Earth Year 2576’ dan pemenang ketiga RM2,500 menjadi milik Azmi Hud yang menghasilkan filem pendek ‘Hari-hari Seorang Pemalas.’

Hadir sama, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif IOI Corp Bhd Datuk Lee Yeow Chor yang juga Pengerusi Majlis Minyak Sawit Malaysia.

Kok juga mempelawa mereka khususnya dari Eropah untuk melihat sendiri penanaman kelapa sawit di Malaysia serta usaha terbaik yang dijalankan bagi melindungi hidupan liar.

“Ramai pembuat dasar di Eropah tidak pernah menjejakkan kaki di rantau ini seperti di Malaysia dan Indonesia. Mereka hanya membuat keputusan berdasarkan cakap-cakap serta pandangan badan bukan kerajaan. Mereka sepatutnya datang dan melihat sendiri keadaan di sini,” katanya.

Beliau berkata, minyak sawit Malaysia juga dikenali kerana kualiti, bekalan yang konsisten dan amalan yang mampan.

“Walaupun terus memberi sumbangan, industri minyak sawit ini sebaliknya terus dikaitkan dengan pemusnahan hutan dan kehilangan biodiversiti.

“Kempen antiminyak sawit, fakta salah dan perlindungan dagangan terhadap minyak dihasilkan secara domestik khususnya di Kesatuan Eropah, telah memberi gambaran salah kepada Parlimen Eropah yang bertindak menamatkan penggunaan biobahan api berasaskan sawit dalam sektor pengangkutan menjelang 2030,” katanya.

Sehubungan itu, Kok berkata kerajaan menerusi kementerian itu yang turut disokong oleh kementerian dan agensi lain akan terus melakukan libat urus dengan pihak berkepentingan Eropah bagi menangkis maklumat palsu dan salah membabitkan sawit berserta fakta saintifik bagi mengelak tindakan yang boleh menjejaskan dagangan komoditi itu.

Sementara itu, Lee turut sependapat dengan kenyataan Kok mengenai ramai pihak yang kurang memahami industri minyak sawit tersebut dan sewajarnya melihat sendiri keadaan di lapangan.

Beliau turut merujuk kunjungan aktres Britain, Dame Judi Dench ke Sabah baru-baru ini dan melihat sendiri industri minyak sawit yang kompleks serta masyarakat yang bergantung hidup kepada tanaman itu.

Dench dilaporkan berkongsi rasa gembira kerana melihat wujudnya pelbagai cara kerjasama untuk melindungi hutan dan membantu hidupan itu meneruskan kelangsungan dalam persekitaran mencabar. — Bernama

Advertisement