Anda di sini

Barca dikejutkan pada perlawanan pembukaan La Liga

Advertisement
 Athletic Bilbao menggegarkan gawang Barcelona dengan jaringan pertama pada perlawanan La Liga di San Mames, Bilbao, Sepanyol. — Gambar Reuters
GOL PEMUSNAH: Athletic Bilbao menggegarkan gawang Barcelona dengan jaringan pertama pada perlawanan La Liga di San Mames, Bilbao, Sepanyol. — Gambar Reuters

MADRID: Barcelona memulakan kempen untuk mempertahankan kejuaraan La Liga dengan buruk kelmarin apabila mereka kehilangan Luis Suarez yang mengalami kecederaan dan kemudian tewas 1-0 kepada Athletic Bilbao, hasil rembatan daripada pemain gantian Aritz Aduriz.

Suarez dikeluarkan pada minit ke-37 selepas dipercayai mengalami kecederaan betis sebelum Aduriz, penyerang berusia 38 tahun yang sudah mengumumkan dia akan bersara pada hujung musim ini, dimasukkan pada minit ke-88.

Ini ternyata permulaan finale yang menakjubkan apabila Aduriz melompat dan melakukan rembatan voley akrobatik melepasi Marc-Andre ter Stegen untuk mengujakan pasukan San Mames pada malam pembukaan La Liga.  

“Pasukan lawan telah menyedarkan kami,” kata Gerard Pique kemudian.

Barca bermain tanpa Lionel Messi, yang mengalami kecederaan betis pada waktu pramusim, dan sebelum sepak mula mengesahkan mereka bakal kehilangan Philippe Coutinho, selepas perjanjian pinjaman ‘dipersetujui pada dasarnya’ dengan Bayern Munich, menurut pengarah kelab Guillermo Amor.

Suarez akan menjalani pemeriksaan pada Selasa depan untuk mengetahui berapa lama dia tidak akan bermain tetapi kepulangan Messi, dan mungkin rundingan untuk penyerang Paris Saint-Germain, Neymar, akan semakin segera pada waktu ketiadaannya.

Antoine Griezmann juga dijangka akan ke depan tetapi selepas dia tiba dari Atletico Madrid pada Julai lepas, dia membuat penampilan sulung yang hambar.

Bilbao, yang menduduki tempat kelapan pada musim lepas, mengikat Barca tanpa jaringan pada Februari lalu dan mereka kelihatan bakal mengutip satu lagi mata sebelum Aduriz campur tangan.

Dia sudah menjaringkan lebih 200 gol dalam kariernya selama 20 tahun tetapi mungkin tiada yang tidak dapat dilupakan seperti jaringan ini.

Malah gol pertama La Liga pada musim ini mungkin ternyata jaringannya yang terbaik.

“Kadang-kadang bola sepak boleh jadi begitu indah,” kata Aduriz kemudian.

“Ia pasti mustahil untuk tidak merindui ini tetapi segalanya ada permulaan dan penghujung. Saya amat bersyukur kerana dapat memilih penamat ini.”

Bagi Barca pula, sekurang-kurangnya mereka dapat berpuas hati dengan permainan yang cemerlang daripada Frenkie de Jong, yang turut membuat penampilan sulung di tempat Sergio Busquets.

Sebaliknya Griezmann tidak dapat menyesuaikan diri selepas permulaan yang tidak menentu, malah terlepas hantaran mudah di bawah kakinya sebelum dia menendang lewat kaki Unai Lopez.

Sementara itu Inaki Williams, yang baharu sahaja menandatangani kontrak selama sembilan tahun pada minggu lepas, bermula dengan pantas, dan menyaksikan rembatan kencangnya ditolak ke tepi dan kemudian mengelecek Nelson Semedo tetapi sekali lagi dinafikan oleh Ter Stegen.

De Jong kemas dan tenang tetapi Barca tidak begitu terkawal dan rentak mereka semakin tidak menentu apabila Suarez meninggalkan padang sejurus sebelum waktu rehat.

Raul Garcia tidak dapat menewaskan Ter Stegen dari jarak 10 ela manakala Rafinha, yang dimasukkan untuk menggantikan tempat Suarez, nyaris melakukan jaringan apabila cubaannya yang cantik ditepis dengan hebat ke atas sendi antara tiang dan palang gol oleh Unai Simon.

Ernesto Valverde memasukkan Ivan Rakitic untuk menggantikan Carles Alena pada waktu rehat dan cubaan Rafinha sekali lagi terkena tiang gol, kali ini dilepaskan oleh hantaran ke belakang daripada Ousmane Dembele.

Bilbao seakan-akan keletihan dan Barca meningkatkan lagi usaha. Rakitic melakukan rembatan tinggi apabila tiga pemain pertahanan Bilbao melompat di depannya tetapi pasukan lawan terselamat.

Penyerang berusia 21 tahun Carles Perez dimasukkan untuk penampilan liga keduanya tetapi pemain gantian Bilbao juga yang ternyata menentukan perlawanan.

Satu gerakan satu-dua yang cepat di sayap kanan menghasilkan hantaran tinggi ke dalam kotak penalti, di mana Aduriz melakukan penyudah. — AFP

Advertisement