Anda di sini

Angel, Cayden terbukti unggul

Advertisement
 Angel dan Cayden bersama (dari kanan) Hoan, Henry, Lorna, Snowdan, Dr Chan dan tetamu lain pada penutupan kejohanan golf remaja di KGS kelmarin.
TERBAIK: Angel dan Cayden bersama (dari kanan) Hoan, Henry, Lorna, Snowdan, Dr Chan dan tetamu lain pada penutupan kejohanan golf remaja di KGS kelmarin.

KUCHING: Angel Hii dan Cayden Kong dinobatkan juara kategori remaja lelaki dan wanita Kejohanan Golf Terbuka Remaja KGS, Trofi Cabaran Datin Patinggi Puan Sri Datuk Wira Lorna Muloon Chan yang berakhir di Kelab Golf Sarawak (KGS) kelmarin.

Angel, pelajar tingkatan lima Sekolah Antarabangsa Tunku Putra mewakili KGS terbukti cemerlang dengan mencatat 222 pukulan enam di atas par selama tiga hari saingan untuk muncul juara kategori wanita A.

Ini merupakan trofi kedua buat beliau setelah memenangi perak pada Kejohanan Golf Berpasukan Amatur Asia Tenggara bersama Ashley Chin dari Pulau Pinang dan Grace Chin dari Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Sementara itu, Sharifah Aisyah Tijang Binyahya dari Kelab Golf Miri (KGM) menduduki tempat kedua dengan 246 pukulan manakala Nabilah Alifuddin dari Kelab Golf Kudat tempat ketiga dengan 251 pukulan.

Manakala Cayden Kong dari KGM menggagalkan impian adik Angel, Saxen untuk muncul juara bagi kategori remaja lelaki.

Saxen dan Cayden bersama-sama mencatat 241 pukulan 25 di atas par dalam kategori remaja lelaki B namun nasib lebih memihak kepada Cayden selepas memang dalam perlawanan ‘play-off’.

Tempat ketiga dirangkul oleh Muhammad Hadif Fathely dari KGS dengan 242 pukulan.

KGS turut menyapu bersih kategori remaja lelaki A dengan Muhd Hizzam Mohd Jefry dinobatkan juara selepas mencatat 247 pukulan manakala Habib Mushthofa Abu Bakar menduduki tempat kedua dan Mohamed Dzur Kaef berada di tempat ketiga.

Pemenang kategori lain termasuk Sri Raam Palanal Subramaniam dari KGM (remaja lelaki C), Joshua Lim dari KGS (remaja lelaki D), Eva Puyang Deng (wanita B), Abigail Kedung Pearson (wanita C) dan Madison Ling Xin dari KGM (wanita D).

Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan menyampaikan hadiah kepada pemenang bagi mewakili Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah.

Hadir sama bekas Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Dr George Chan, Presiden Persatuan Golf Sarawak (SGA) Hoan Kee Hock, Kapten KGS, Henry Chuo dan Pengerusi Penganjur, Yakop Jalel.

  • oleh
  • Advertisement