Anda di sini

Wan Azizah ucap takziah penuh emosi ketika bertemu keluarga Nora Anne

Advertisement
 Wan Azizah (tengah) pada sidang media selepas hadir bagi mendengar taklimat ringkas mengenai kes kematian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di Balai Polis Pantai, dekat Seremban, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (empat kiri). — Gambar Bernama
TAKLIMAT: Wan Azizah (tengah) pada sidang media selepas hadir bagi mendengar taklimat ringkas mengenai kes kematian seorang remaja warga Ireland Nora Anne Quoirin, 15, di Balai Polis Pantai, dekat Seremban, semalam. Turut hadir, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop (empat kiri). — Gambar Bernama

SEREMBAN: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkunjung ke ibu negeri ini semalam bagi melahirkan rasa dukacita beliau kepada keluarga Nora Anne Quoirin, remaja berdarah Perancis-Ireland, yang meninggal dunia selepas melalui kejadian tragis selepas hilang dalam hutan dekat sini.

Mayat remaja berumur 15 tahun itu dijumpai pada Selasa susulan satu operasi mencari dan menyelamat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa Malaysia selepas beliau dilaporkan hilang dari vila percutian di resort ekopelancongan dekat sini pada 4 Ogos.

Ia suatu pertemuan penuh emosi dengan linangan air mata apabila Dr Wan Azizah memeluk ibu Nora Anne, Meabh Jaseprine Quoirin, ketika ditemukan di resort berkenaan, yang dibuat secara tertutup. demikian menurut Ahli Dewan Undangan Negeri Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon yang turut hadir.

“Timbalan Perdana Menteri kelihatan sedih sepanjang pertemuan itu,” kata Tan yang mengiringi Dr Wan Azizah bersama-sama Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Mat Yusof, pegawai yang mengeluarkan hasil pemeriksaan post-mortem ke atas badan Nora Anne, kelmarin.

Menurut pegawai negeri itu lagi, Meabh dan suami Sebastien Marie Philipe didengar mengucapkan terima kasih kepada kerajaan atas usaha yang dijalankan dalam kes itu.

Wan Azizah enggan mengulas mengenai hasil pertemuan itu apabila dihampiri para pemberita kemudian.

Beliau hanya menyebut keluarga berkenaan memohon diberi privasi semasa menghadapi waktu sukar ini.

Hasil post-mortem menunjukkan bahawa Nora Anne, remaja berkeperluan khas, meninggal dunia akibat pendarahan dalaman kemungkinan akibat kelaparan dan stres.

Keluarga Quoirin itu telah mendaftar masuk ke resort di pinggir hutan hujan tropika itu pada 3 Ogos untuk percutian selama dua minggu.

Mereka memaklumkan perkara itu selepas mendapati Nora Anne hilang dari biliknya keesokan pagi, dengan tingkap di biliknya terbuka.

Dr Wan Azizah terdahulu diberi taklimat mengenai kes itu oleh Mohamad di balai polis Pantai di sini.

Ketika ditemui pemberita di sini, beliau menyifatkan kematian Nora Anne sebagai satu yang tragis dan amat menyedihkan.

Beliau turut mengambil peluang mengucapkan terima kasih kepada pasukan mencari dan menyelamat atas usaha tanpa mengenal penat untuk mencari Nora Anne, yang mayatnya dijumpai di gaung kira-kira 2.5 km dari resort itu pada hari ke-10 operasi. — Bernama

Advertisement