Anda di sini

Polis nasihat penganjur batal ceramah Zakir Naik di Perlis

KANGAR: Polis menasihatkan penganjur Malaysia Revert Camps membatalkan slot ceramah pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik dan keluarganya pada program itu yang bermula semalam hingga Ahad ini bagi menjaga sensitiviti dan desakan pelbagai pihak.

Ketua Polis Perlis, SAC Noor Mushar Mohamad berkata, nasihat tersebut dipersetujui Mufti Negeri, Dr Asri Zainal Abidin dan pihak Jabatan Mufti negeri telah pun mengeluarkan surat kepada penganjur untuk mengecualikan Zakir dan keluarga daripada bercakap pada program tersebut agar tidak timbul sebarang isu.

Selain Zakir, isteri beliau Farhat Naik serta anak mereka Fariq, Rushda serta Zikra dilapor turut diberikan slot ceramah pada program itu yang dianjurkan oleh One Centre Malaysia Perlis (OCMPs).

“Sebanyak 150 laporan polis telah dibuat. Program boleh diteruskan dan Zakir Naik dibolehkan hadir pada program itu, tetapi dilarang berucap dan memberi ceramah sama sekali,” katanya kepada media selepas Majlis Serah Terima Tugas Lima Ketua Jabatan Kontinjen (IPK) Perlis di sini, semalam.

Mushar berkata sekiranya penganjur masih membenarkan Zakir dan keluarganya untuk memberi ceramah, tindakan akan diambil di bawah undang-undang yang bersesuaian termasuk di bawah Akta Perhimpunan Aman. — Bernama