Anda di sini

Neymar akan tinggalkan PSG

Advertisement
NEYMAR
NEYMAR

PARIS: Drama pemergian Neymar yang dijangka tidak dapat dielakkan dari Paris Saint-Germain (PSG) ternyata sesuatu yang lama dan berlarutan untuk melabuhkan tirai ke atas apa yang pada akhirnya rasa seperti satu uji kaji sementara yang gagal.

Selepas dia tiba di Perancis pada 2017 dengan harapan agar perpindahan rekod dunia ke PSG dapat membantunya muncul dari bayang-bayang Lionel Messi di Barcelona dan memenangi anugerah Ballon d'Or, dua tahun kemudian dia kelihatan bakal meninggalkan kelab itu dengan reputasinya yang menerima tamparan serius.

Penyerang berusia 27 tahun itu sesungguhkan seorang pemain yang cemerlang, dan peluang adalah tinggi bahawa dia akan menikmati kejayaan yang dia idam-idamkan – secara kolektif dan, terutamanya, secara individu – jika dia kembali ke Sepanyol, sama ada bersama kelab lamanya atau Real Madrid.

Bagaimanapun, terdapat sebab untuk percaya bahawa PSG pimpinan Kylian Mbappe, dan bola sepak di Perancis secara amnya, pada akhirnya akan berada dalam keadaan yang lebih baik tanpanya.

Perlawanan pertama juara Perancis itu dalam Ligue 1 bagi kempen semasa pada Ahad lepas, kemenangan 3-0 ke atas Nimes, menyaksikan penyokong membentang sepanduk yang menghina pemain bernilai 222 juta euro (RM1.09 bilion) itu.

Neymar sendiri tidak bermain dalam perlawanan itu, diketepikan ekoran masa depannya yang tidak menentu. Dia sudah tidak bermain dalam perlawanan Trofi Juara-Juara yang membuka musim menentang Rennes di China kerana penggantungan.

Sejak dia berhijrah ke Parc des Princes, dia telah bermain dalam hampir separuh daripada perlawanan kelabnya.

Apabila dia berada di atas padang, dia sering kali bermain dengan cemerlang, menjaringkan 51 gol dalam 58 perlawanan, tetapi apabila ia amat penting sekali, dia tidak bermain.

Kecederaan kaki menyaksikannya tidak bermain dalam tiga daripada empat perlawanan kalah mati Liga Juara-Juara bagi kelab milik Qatar itu sejak dia tiba.

Tanpanya, mereka tewas pada peringkat 16 terakhir kepada Real Madrid pada 2018 dan kemudian kepada Manchester United pada tahun ini.

“Saya suka Neymar, saya mahu terus bermain bersamanya, bersama Kylian dan bersama semua orang,” kata jurulatih Thomas Tuchel pada hujung minggu lepas.

“Namun realitinya ialah kita mesti mencari penyelesaian tanpa ‘Ney’. Kita tidak dapat kehilangan Neymar dan hanya mencari orang lain yang akan melakukan perkara yang sama.”

Mbappe menambah “tanpa Neymar, ia bukan pasukan yang sama” tetapi PSG masih dapat meningkat dengan melabur dalam skuad yang lebih seimbang – pembelian pada musim panas yang dibuat setakat ini di bawah pengarah sukan Leonardo merupakan langkah ke arah yang betul.

Pemain pertahanan tengah Abdou Diallo, tiga pemain tengah Ander Herrera, Pablo Sarabia dan Idrissa Gueye sudah tiba.

Dengan wang yang diambil balik daripada penjualan Neymar nanti, tidak payah hendak sebut penjimatan daripada gaji tahunannya sebanyak 36 juta euro (RM176 juta), lebih ramai pemain tambahan dapat dibawa masuk.

Sarkas di luar padang yang berkisar sekitar Neymar merupakan gangguan yang sudah terlalu lama tidak dialu-alukan. Di atas padang, Paris tetap akan ada Mbappe.

Perkara sebaliknya ialah apa maksud ini bagi jenama PSG. Apa tidaknya, pengikut Neymar dalam media sosial jauh mengatasi pengikut kelabnya sekarang.

Demikian juga, apabila liga Perancis (LFP) melelongkan hak televisyen mereka pada tahun lepas, mereka mengambil kesempatan ke atas kehadiran pemain Brazil itu.

Walau apa pun, Ligue 1 sentiasa dalam keadaan pembaharuan, sentiasa bersiap sedia untuk melihat pemain bintang pergi ke luar negara. — AFP

Advertisement