Anda di sini

MARii wujud i-Workshop pertama di Sabah

Advertisement
 Suasana ketika sidang media berlangsung di pejabat MARii Sabah.
PENERANGAN: Suasana ketika sidang media berlangsung di pejabat MARii Sabah.

PENAMPANG: Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) akan mewujudkan Bengkel Bersepadu (i-Workshop) buat julung kali di Sabah yang akan dibina di daerah Penampang.

Projek pembinaan bengkel yang pertama hasil kerjasama Syarikat Great Plus Auto Part Sdn Bhd itu akan menyatukan kemudahan perkhidmatan automotif di dalam satu bumbung.

Ketua Pegawai Ekesekutif MARii Datuk Madani Sahari berkata, projek perintis itu akan dibangunkan di atas tanah seluas 2 ekar (87,000 kaki persegi), terletak kurang dari 10 kilometer dari pusat bandar Kota Kinabalu.

"Pusat sehenti i-Workshop ini akan mengumpulkan dan menawarkan pakar perkhidmatan dan pembaikan, seperti tayar dan rim, kerja-kerja kejuruteraan, prestasi dan tuning, badan dan cat kenderaan, serta bahagian pembekal dan perkhidmatan berasaskan motosikal.

"Setakat ini, kita sudah membuat pecah tanah dua hari lepas di lokasi dan sekarang dalam proses pembinaan lot bangunan yang dijangka siap dalam masa enam bulan ini.

"Pada masa sama, kita sedang memilih 10 hingga 15 usahawan perusahaan kecil dan sederhana (IKS) yang berhasrat menyewa lot yang turut kami wujudkan berdekatan dengan i-Workshop," katanya kepada pemberita semasa sidang media, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Madani berkata, kewujudan kawasan lot usahawan IKS dalam projek pusat sehenti itu juga akan memberi peluang usahawan tempatan memperluaskan portfolio perniagaan mereka, sekaligus memberi lebih banyak akses kepada pasaran secara meluas.

Katanya, antara peruncitan yang terlibat seperti kedai pendandan rambut, kafeteria hipster, restoran, dobi, kedai permainan, pusat hiburan, Cross Fit Gym, dan lain-lain.

" Kemudahan yang disediakan ini akan menjadikan konsep i-Workshop lebih berdaya maju untuk mempelbagaikan serta mengembangkan operasi perniagaan lain dalam pasaran sektor automobil dalam satu bumbung.

"Pelanggan pusat sehenti juga akan lebih selesa dan tidak akan merasa bosan menunggu proses perkhidmatan kenderaan mereka yang disediakan di dalam i-Workshop," katanya.

Berkaitan harga jelasnya, setiap jenis perkhidmatan akan dikenakan dengan harga yang berpatutan bersesuaian dengan tawaran yang disediakan di dalam i-Workshop.

Mengenai perancangan seterusnya, beliau berkata, MARii merancang mewujudkan dua lagi i-Workshop di sekitar bandar Kota Kinabalu dan bahagian Pantai Timur Sabah yang akan siap sebelum awal tahun depan.

Selain itu, pihaknya juga berhasrat mewujudkan satu pusat yang membekalkan alat ganti automotif kepada seluruh bengkel yang berminat di seluruh Sabah.

Terdahulu, hadir sama pada sidang media itu ialah Pengerusi Great Plus Auto Parts  Sdn Bhd Datuk Chee Chi Vun.

  • oleh
  • Advertisement