Anda di sini

Kekal fokus dan percaya: Peter

Advertisement
PETER ANTHONY
PETER ANTHONY

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa); Datuk Peter Anthony mahu pemain kekal fokus dan percaya dengan kemampuan sendiri apabila melayani kunjungan Pahang dalam saingan Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Likas malam ini.

"Saya percaya siapa pun yang akan diturunkan mampu menggalas tugas memburu kemenangan.

"Mereka hanya perlu fokus dan bersungguh-sungguh kerana saya melihat pemain kita ada kemampuan dan kelebihan tersendiri.

"Jadikan dua kekalahan sebelum ini sebagai pembakar semangat menentang Pahang sekaligus membuktikan bahawa pasukan Tambadau Sabah adalah antara pasukan terbaik di Malaysia," kata Peter ketika dihubungi di sini, kelmarin.

Peter yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah juga berharap juara Liga Premier 2019 itu menjadikan dua kekalahan sebelum ini sebagai pengajaran bagi memburu kemenangan pertama malam ini.

"Kalau kita lihat, dua kekalahan sebelum ini lebih kepada disebabkan kelalaian sendiri, dari segi kualiti, Sabah tidak jauh berbeza dengan lawan. Kita kalah 3-0 kepada Perak termasuk dua jaringan yang berlaku pada masa kecederaan di setiap babak.

"Ketika menentang Pulau Pinang, kita (Sabah) lebih  banyak menguasai permainan tetapi dinafikan untuk pulang sekurang-kurangnya dengan satu mata ekoran jaringan sendiri yang memberikan kemenangan kepada lawan," katanya.

Sehubungan dengan itu, Peter mahu pemain menjadikan pertemuan dengan Pahang malam ini sebagai titik mula kebangkitan.

"Bukan tugas mudah kerana Pahang sudah menunjukan taraf mereka dengan dua kemenangan  yang meletakkan mereka selaku pendahulu tetapi kita sudah tiada pilihan selepas kalah dua perlawanan sebelum ini.

"Kita perlu menang untuk terus menghidupkan peluang ke suku akhir. Oleh itu saya mahu pasukan jadikan setiap perlawanan umpama perlawanan penentuan. Main seperti ia adalah perlawanan akhir..beraksi sebagai pejuang yang sangat dahagakan kemenangan.

"Saya juga berharap lebih ramai penonton datang memberi sokongan dan menjadi pemain ke-12 kepada pasukan Tambadau kita," katanya.

Peter berkata, amat penting untuk pemain memberikan persembahan terbaik kerana prestasi mereka dalam saingan Piala Malaysia ini juga antara yang diambil kira bagi menentukan kedudukan mereka dalam pasukan musim depan.

Nasib Tambadau Sabah mengejar sasarannya ke separuh akhir bergantung kepada baki empat perlawanan termasuk perlawan malam ini.

Sabah kini di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata manakala Pahang mendahului dengan enam mata. Perak dan Pulau Pinang masing-masing telah mengutip tiga mata di atas Sabah.

Sambil itu, skuad bimbingan Jelius Ating hanya diperkuatkan tiga import malam ini ekoran kecederaan yang dialami pemain tengah, Ahmet Atayev.

Kedudukan pertahanan import, Park Tae Sue juga samar kerana turut mengalami kecederaan. Jelius dijangka akan memutuskan kedudukan Park selepas latihan terakhir kelmarin.

Kesebelasan kemungkinan Sabah ialah Rozaimie Rohim, Rawilson Batuil, Park atau Mafry Balang, Evan Wensley, Randy Baruh, Mohd Azizan Nordin, Ricco Nigel Milus, Alto Linus, Jenius Karib atau Maxsius Musa, Aguinaldo Mendes dan Rodoljub Paunovic.

Kedudukan Kumpulan C
P    M    S    K    J    B    MT
1. Pahang    2    2    0    0    6    1    6
2. Perak    2    1    0    1    3    3    3
3. P Pinang    2    1    0    1    3    4    3
4. Sabah    2    0    0    2    1    5    0

  • oleh
  • Advertisement