Anda di sini

Dortmund ingin tamatkan penguasaan Bayern

Advertisement
 Pemain Dortmund memberikan tanda terima kasih kepada sokongan daripada penyokong mereka selepas tamat perlawanan pusingan pertama DFB Cup menentang KFC Uerdingen di Jerman. — Gambar Reuters
BERAZAM TINGGI: Pemain Dortmund memberikan tanda terima kasih kepada sokongan daripada penyokong mereka selepas tamat perlawanan pusingan pertama DFB Cup menentang KFC Uerdingen di Jerman. — Gambar Reuters

BERLIN: Apabila Bundesliga bermula pada hujung minggu ini, Borussia Dortmund bersiap sedia untuk melancarkan serangan besar-besaran ke atas penguasaan Bayern Munich selama tujuh tahun, dan pada kali ini, mereka serius.

Selepas gagal tipis untuk memenangi kejuaraan liga pada tahun lepas, Dortmund berharap agar beberapa pemain baharu dan sedikit keyakinan yang baharu sudah memadai bagi mereka untuk akhirnya menggulingkan Bayern pada musim ini.

“Kita akan memulakan musim baharu dengan niat untuk mencabar bagi kejuaraan – tiada sama ada , tiada tetapi,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Dortmund, Hans-Joachim Watzke, pada Jun lalu.

Kapten Marco Reus dan jurulatih Lucien Favre telah membuat kenyataan yang sama sejak itu, dan Dortmund kelihatan lebih yakin dapat memenangi kejuaraan itu berbanding selama ini sejak kejayaan terakhir mereka pada 2012.

Bayern mendominasi liga sejak itu, memenangi tujuh kejuaraan berturut-turut dan mendapat kejuaraan domestik berganda pada musim lepas walaupun ketinggalan sembilan mata di belakang Dortmund pada Disember.

Namun ketika mereka bersiap sedia untuk melancarkan kempen bagi mempertahankan kejuaraan mereka dalam perlawanan menentang Hertha Berlin semalam, Bayern juga yang kelihatan bermasalah, sedangkan Dortmund kelihatan yakin.

Pasukan Lucien Favre sudah menguatkan barisan merka dengan beberapa pemain baharu yang mengujakan, termasuk Nico Schulz, Thorgan Hazard dan Julian Brandt.

Mungkin paling mengujakan sekali, mereka juga telah berjaya mencungkil balik bekas kapten dan pemenang Piala Dunia 2014 Mats Hummels dari Bayern dengan bayaran 38 juta euro (RM183 juta).

Dalam pasukan yang goyah dari segi pertahanan dalam perlawanan penting sewaktu perebutan kejuaraan pada tahun lepas, ramai melihat kepimpinan senyap dan pengalaman Hummels sebagai bahagian yang hilang dalam susun suai gambar bagi Dortmund.

Hummels sendiri menyatakan dia mahu membawa sebahagian daripada kehebatan Bayern menentukan kejuaraan ke Dortmund.

“Anda perlu menyedari bahawa Bayern bukan yang terburuk dari segi mentaliti kemenangan. Walaupun kedua-dua kelab berlainan, saya mahu membawa sikap itu ke Dortmund,” katanya kepada majalah Kicker pada minggu ini.

Sementara Dortmund mendepani musim baharu dengan sikap optimis, Bayern masih belum melupakan kekecewaan mereka pada musim panas.

Ekoran pemergian pemain kanan seperti Hummels, Arjen Robben dan Franck Ribery, Bayern telah menghabiskan masa sejak beberapa bulan lalu di bawah tekanan yang semakin meningkat untuk mengumumkan pembelian besar.

Walaupun mereka mendapatkan khidmat dua pemenang Piala Dunia dari Perancis, Benjamin Pavard dan Lucas Hernandez pada awal tahun ini, minat kepada kepada pemain sayap Manchester City Leroy Sane dan penyerang RB Leipzig Timo Werner setakat ini gagal membuahkan hasil.

Ketiadaan pergerakan telah mengecewakan pemain kanan, dan pada awal Ogos, bintang penyerang Robert Lewandowski secara terbuka menuntut agar kelab itu membuat tiga lagi pembelian.

Ketibaan pemain sayap Croatia, Ivan Perisic, yang dipinjamkan dari Inter Milan pada minggu ini sudah meredakan sedikit tekanan tetapi jurulatih Niko Kovac berkata pada minggu ini bahawa skuadnya “masih perlu menguatkan diri”.

Walaupun tidak mempedulikan pengkritik dan memenangi kejuaraan berganda pada musim lepas, Kovac masih dilihat dengan kecurigaan oleh segelintir pihak, dan berdepan dengan kritikam kerana kembali semula kepada sistem 4-3-3 pada pramusim.

Bayern bergelut dalam formasi itu pada awal musim lepas, sebelum mereka bertukar kepada 4-2-3-1 dan keputusan bertambah baik.

Namun mereka bertukar balik kepada 4-3-3 dalam Piala Super Jerman pada awal bulan ini dan mengalami kekalahan 2-0 kepada pasukan Dortmund yang hebat.

“Kami membuat kesilapan yang sama seperti pada tahun lepas, dan saya harap mereka tidak berlaku lagi,” kata Lewandowski selepas kekalahan itu.

Sementara itu Dortmund berharap agar ujian litmus Piala Super akan menyediakan rentak bagi seluruh musim.

Kerja sebenar bermula pada malam ini (Sabtu), dengan perlawanan pembukaan mereka di stadium sendiri menentang Augsburg.

Selepas itu, ‘sama ada’ dan ‘tetapi’ tiada lagi. Kali ini, Dortmund adalah serius. — AFP

Advertisement