Anda di sini

AirAsia mempamerkan perjalanan udara masa depan

Advertisement
 Dr Mahathir merakam kenangan bersama eksekutif utama dan kakitangan AirAsia di RedQ, Sepang semalam.
MERIAH: Dr Mahathir merakam kenangan bersama eksekutif utama dan kakitangan AirAsia di RedQ, Sepang semalam.

SEPANG: AirAsia pamer perjalanan udara masa depan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sempena lawatan rasmi beliau ke Ibu Pejabat AirAsia RedQ di sini semalam.

Lawatan dan pameran tersebut bermula di Makmal Inovasi di mana AirAsia memperkenalkan laman airasia.com yang kini merupakan sebuah platform perjalanan semua dalam satu.

Laman ini   bukan sahaja menawarkan tiket penerbangan malah pelbagai tawaran gaya hidup supaya para tetamu boleh menempah semua keperluan perjalanan mereka daripada penerbangan dan penginapan hingga pengangkutan, lawatan, hiburan dan banyak lagi di satu laman web.

Dalam ucapannya, Dr Mahathir berkata AirAsia merupakan penerbangan pertama di Asia yang menjual penerbangan secara atas talian ketika industri lain masih menggunakan ejen perjalanan.

AirAsia juga katanya, merupakan penerbangan pertama di Asia yang mempunyai aplikasi mudah alih dan mengambil serius penglibatan media sosial dengan tetamunya.

“Dari segi pengalaman lapangan terbang, AirAsia adalah yang pertama melaksanakan fasiliti layan diri termasuk kios daftar masuk, tag beg sendiri dan mesin meletakkan beg yang saya rasai sendiri pengalamannya tadi.

“Hari ini, AirAsia mengambil pengalaman tetamunya, satu langkah di depan dengan mempamerkan kemungkinan perjalanan udara masa depan dan lapangan terbang digital,” katanya.

Dari segi sumbangan kepada sektor pelancongan dan Revolusi Industri 4.0, AirAsia Menurut Dr Mahathir telah menyumbang secara signifikan kepada sektor pelancongan negara sejak 2001.

Dengan teknologi-teknologi baharu ini, Dr Mahathir yakin AirAsia akan terus meletakkan Malaysia pada peta dan pada masa yang sama membuka jalan bagi penggunaan teknologi baharu dalam industri perjalanan.

“Saya gembira melihat AirAsia mencabar diri secara berterusan untuk mengadaptasi dan menguasai teknologi baharu untuk inovasi dan penambahbaikan berterusan kepada tetamunya.

“RedQ, saya percaya dengan semangat inovasi AirAsia adalah tempat kerja masa depan yang dibina untuk mengukuhkan kolaboratif dan kreativiti menerusi pelan udara terbuka serta menyediakan kehidupan moden supaya kakitangan AirAsia dapat bekerja dengan bebas,” katanya.

Dalam pada itu pameran pengalaman lapangan terbang digital bermula dengan AirAsia FACES (Fast Airport Clearance Experience System) yang membolehkan para tetamu daftar masuk secara digital, daftar masuk bagasi sendiri, mendapatkan pengesahan pelepasan imigresen dan masuk ke pintu pelepasan dengan hanya menggunakan teknologi pengecaman wajah.

AirAsia juga mempamerkan bagaimana penyelesaian kejuruteraan digital seperti teknologi blockchain dan sistem Skywise dapat menyediakan operasi yang lebih baik, cekap dan hijau.

AirAsia juga mempamerkan komponen-komponen penting yang lain dalam pelan induknya untuk menawarkan pengalaman perjalanan masa depan termasuk platform e-dagang OURSHOP, platform kargo dan logistik Teleport, syarikat teknologi kewangan (Fintech) BigPay dan tawaran gaya hidup seperti Santan dan Yayasan AirAsia.

Turut serta dalam lawatan tersebut, Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Pengerusi AirAsia X Tan Sri Rafidah Aziz bersama eksekutif utama AirAsia termasuk Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia Berhad Datuk Kamarudin Meranun, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia dan AirAsia.com Tan Sri Tony Fernandes, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dan ahli pengurusan kanan AirAsia Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement