Anda di sini

Sabah tempat ketiga bersama Futsal Orang Pekak Malaysia

Advertisement
 Skuad Sabah pemenang bersama tempat ketiga Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ketiga 2019 di Negeri Sembilan pada 13-15 Ogos.
KETIGA: Skuad Sabah pemenang bersama tempat ketiga Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ketiga 2019 di Negeri Sembilan pada 13-15 Ogos.

KOTA KINABALU: Sabah pemenang tempat ketiga bersama Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia Kali Ketiga 2019 di Negeri Sembilan pada 13-15 Ogos.

Kejohanan yang berlangsung di All Star Futsal, Senawang, Seremban itu menyaksikan Sabah berkongsi tempat ketiga dengan pasukan tuan rumah, Negeri Sembilan selepas kedua-duanya tewas pada separuh akhir.

Sabah tewas 4-8 di tangan Kelantan manakala Negeri Sembilan kecundang di tangan Pahang.

Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Negeri Sabah (SDEAFSA), Spancer Soo dalam kenyataan menerusi aplikasi WhatsApp berkata, gembira dengan pencapaian Sabah pada kejohanan selama tiga hari yang berakhir kelmarin berkenaan.

 Sabah mara ke separuh akhir selepas muncul naib juara saingan peringkat Kumpulan B yang turut dianggotai pasukan Pahang, Kedah, Sarawak dan Perlis.

Sabah mencatat dua kemenangan, satu seri dan satu kalah. Mereka menang 3-0 ke atas Sarawak dan Perlis, seri tanpa jaringan dengan Kedah dan kalah 1-2 di tangan juara kumpulan Pahang.

"Pencapaian pasukan turut diserikan dengan kejayaan penjaga gol Hasbuddin Naung yang telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

 Hasbuddin (tengah) menerima hadiah Anugerah Penjaga Gol Terbaik.
SYABAS: Hasbuddin (tengah) menerima hadiah Anugerah Penjaga Gol Terbaik.

"Hasbuddin dan Muhammad Tarmizi serta seorang lagi pemain (nama akan diumumkan dalam masa terdekat) juga telah terpilih mewakili Malaysia dan akan dipanggil menjalani latihan pusat," kata Spancer.

Menurutnya, tiga pemain dari Sabah itu akan menjadi sebahagian daripada anggota skuad negara ke Kejohanan Futsal Orang Pekak Asia Pasifik 2019 di Hong Kong pada November depan.

"Bagi pihak persatuan, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Majlis Sukan Negeri (MSN) Sabah, Borneo Sports Arena dan orang perseorangan serta rakan-rakan yang telah membantu pasukan menyertai kejohanan ini," kata Spancer.

Kelantan muncul juara kejohanan itu selepas menewaskan Pahang 8-4 pada perlawanan akhir.

  • oleh
  • Advertisement