Anda di sini

Perpaduan rakyat kian renggang di bawah kepimpinan PH - Wan Junaidi

Advertisement
WAN JUNAIDI

KUCHING: Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini kian renggang di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) selepas menang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), kata Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Menurutnya, tanggapan bahawa PH mampu mengeratkan perpaduan kaum yang sering dibangkitkan pakatan tersebut dahulunya jauh meleset.

"Saya sedikit rasa sedih selepas PH mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan di peringkat persekutuan, kita beranggapan bahawa dengan adanya kerajaan campuran yang mana parti dahulunya (PH) biasa membangkit soalan perpaduan, demokrasi dan ketelusan makna kalau kita lihat dari sudut ucapan-ucapan dahulu nampaknya macam inilah sebenarnya parti yang mungkin boleh membawa perpaduan yang erat di kalangan masyarakat khususnya perhubungan bumiputera dengan orang Cina.

"Kerana sekarang DAP (Parti Tindakan Demokratik) yang sebenarnya walaupun dikatakan parti pelbagai kaum tetapi parti mewakili masyarakat yang mana 95 peratus pengundi DAP daripada golongan masyarakat Cina.

"Dalam keadaan sedemikian wakil mereka dalam kerajaan telah menyeluruh bahkan satu kementerian penting dalam Malaysia iaitu Kementerian Kewangan telah diambil alih oleh DAP, jadi kita memikirkan keadaan perhubungan kaum dan perpaduan semakin baik tetapi malang sekali nampaknya ia semakin renggang," katanya ketika ditemui Utusan Borneo hari ini.

Malah, Wan Junaidi berkata, DAP kini dilihat tidak lagi memikirkan sensitiviti masyarakat Melayu dan Bumiputera.

"Kerenggangan ini bukan masalah disebabkan pembangkang (Barisan Nasional) kerana bukan mereka yang mengapi-apikan bahkan saya tidak melihat pihak PAS atau UMNO mengapi-apikan perkauman.

"Jadi perkauman ini telah dimulakan oleh pihak dalam kerajaan sendiri," katanya sambil menambah kerajaan PH sepatutnya menumpukan perhatian kepada pembangunan ekonomi, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat, bukannya bermain politik perkauman.

Pada masa sama beliau menjelaskan, Menteri Perpaduan Waytha Moorthy juga gagal menjalankan tugas dengan baik untuk memelihara perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini kerana dilihat lebih mementingkan suara satu kaum sahaja. 

Sehubungan ini, Wan Junaidi menggesa kerajaan Sarawak menggunakan hak imigresen negeri ini sebaik mungkin untuk menyekat mana-mana individu yang boleh membawa perpecahan dalam masyarakat berbilang kaum dan agama di sini.

"Kita tidak mahu ia menganggu gugat perpaduan kita di sini, tujuan politik kita adalah untuk membangunkan negeri, memajukan ekonomi, menjamin perpaduan dan keharmonian supaya orang boleh hidup dengan aman dan damai," jelasnya.

Tambahnya lagi, politik perkauman yang ada di Semenanjung harus ditegah daripada masuk dan merebak ke negeri ini.

Kata beliau, hal ini kerana 35 peratus keluarga di Sarawak adalah keluarga campuran atau hasil perkahwinan campur. 

"Jadi perlu elak politik perkauman ini, tidak boleh dibangkit soalan keagamaan kerana orang Sarawak lain. Saya sendiri isteri orang Cina, adik beradik ipar saya Cina macam mana saya nak bangkitkan hal agama lain," tegasnya.

Wan Junaidi berkata lagi, beliau sendiri telah berbicara dengan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menggunakan hak imigresen Sarawak yang terkandung dalam perlembagaan sebaik-baiknya bagi mencegah perkara tersebut.

"Kalau siapa sahaja yang datang ke Sarawak ini cuba menghasut (rakyat) kita dalam soalan agama dan bangsa, jangan biarkan dia masuk ke Sarawak, walau siapa pun dia, ketua parti mana, PKR kah, UMNO kah, PAS kah, Amanah kah, DAP kah atau siapa sahaja kalau dia tidak akur dengan syarat Sarawak dia tidak akan dibenarkan masuk ke negeri ini.

"Syarat kita di Sarawak mudah sahaja, kita tidak mahu mereka sentuh tentang soal agama dan kaum di sini," katanya. 

Advertisement