Anda di sini

Pastikan Jalur Gemilang lusuh diganti segera

Advertisement
 Samsuni merakamkan gambar kenangan bersama ahli KMJG dan anggota perkhidmatan awam yang hadir.
SEMANGAT: Samsuni merakamkan gambar kenangan bersama ahli KMJG dan anggota perkhidmatan awam yang hadir.

KOTA KINABALU: Bagi menggelorakan semangat Sambutan Bulan Kebangsaan, Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP) Datuk Samsuni Mohd Nor menyeru kepada semua ketua jabatan dan anggota perkhidmatan awam persekutuan untuk mempastikan agar semua Jalur Gemilang yang telah lusuh dan koyak digantikan dengan kadar segera.

Jelas beliau, Jalur Gemilang merupakan lambang kedaulatan negara dan adalah menjadi tanggungjawab semua anggota perkhidmatan awam untuk memastikan keadaan fizikalnya sempurna dan memelihara, menghormati serta mengibarkannya setiap masa.

"Ini adalah salah satu cara mudah bagi kita (penjawat awam) untuk memanifestasikan rasa penghargaan terhadap nikmat kemerdekaan, keamanan dan kemakmuran negara yang dinikmati selama ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada kira-kira 400 anggota perkhidmatan awam dari 32 jabatan dan agensi persekutuan sempena Program Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah (KPKPS) di Dataran KPKPS, pada Khamis.

Samsuni berkata, program itu diadakan sebagai tanda sokongan, komitmen dan kerjasama daripada semua agensi kerajaan Persekutuan terhadap Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat negeri yang dilancarkan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 9 Ogos yang lalu di Padang Daerah Ranau.

Pada majlis yang sama, beliau turut membuat pelepasan kepada 15 kenderaan Jabatan Penerangan Sabah dan agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang menyertai Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) peringkat negeri Sabah.

KMJG ini akan melalui sejauh 1,500 kilometer dengan lebih 40 hentian yang diisi dengan pelbagai program bagi mengimarahkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Pada program kali ini, KMJG turut singgah ke dua hospital utama di sini dan menyerahkan Jalur Gemilang kepada Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas Azman Poji dan Timbalan Pengarah (Pengurusan) Hospital Queen Elizabeth 1 Jasnawati Jasmin.

  • oleh
  • Advertisement