Anda di sini

Mereka yang menghina anggota keselamatan jahil dan cetek kefahaman - Mohamad Sabu

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Pihak yang mengeluarkan kenyataan negatif dan menghina anggota keselamatan adalah mereka yang jahil dan dan cetek kefahaman berkaitan peranan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentrera Malaysia (ATM) dalam mempertahan kedaulatan negara, keutuhan wilayah dan kesejahteraan rakyat.

Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini menegaskan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedia menerima kritikan namun janganlah sampai kepada tahap penghinaan.

"Suka saya tegaskan bahawa kemerdekaan, kedaulatan dan keamanan negara yang dinikmati hari ini adalah hasil pengorbanan anggota tentera yang sanggup menggadai nyawa mereka.

"Marilah sama-sama kita berdiri teguh di belakang mereka. Kita boleh mengkritik, tapi jangan pula sampai menghina," katanya pada sidang media selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2019 di Kementerian Pertahanan di sini hari ini.

Mohamad menarik perhatian bahawa ATM adalah barisan hadapan kerajaan bagi menangani pelbagai isu keselamatan di peringkat domestik dan antarabangsa.

"Apabila negara aman, rakyat dapat melakukan aktiviti harian dengan selamat tanpa perlu risau ditembak atau dibom seperti sesetengah negara lain," kata menteri pertahanan itu.

Kata Mohamad, pelabur luar dan pelancong juga akan datang ke Malaysia apabila mengetahui negara ini dalam keadaan aman selain aktiviti pembangunan negara juga dapat berlangsung tanpa halangan. 

Tentera juga, katanya, menjadi tulang belakang kepada operasi menyelamat apabila negara ini mahupun negara jiran menghadapi krisis atau bencana selain berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk misi keamanan sejagat di serata dunia.

Mohamad berkata hakikatnya, tentera sentiasa mempunyai tugasan walaupun negara kita berada dalam keadaan aman.

"Inilah sumbangan Kementerian Pertahanan dan ATM yang ramai tidak sedari," katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad berkata tanpa mengira apa juga kaum, tindakan menghina angkatan tentera merupakan perbuatan jijik yang sama sekali tidak boleh diterima.

Menjawab pertanyaan pemberita pada sidang media itu, beliau berkata terserah kepada pihak polis untuk mengambil tindakan lanjut susulan laporan polis yang dibuat berhubung kenyataan yang dilihat memperlekeh dan menghina anggota tentera itu.

"Bila ada laporan polis, kita serah kepala polislah apa tindakan yang akan diambil oleh polis. Tidak ada (timbul) perkataan maaf," kata Mohamad sambil menambah isu itu tidak harus dilihat dari sudut perkauman kerana apa yang lebih penting ialah aspek keselamatan negara.

Mengenai Kertas Putih pertahanan, beliau berkata ia kini sedang diperhalusi sebelum pembentangan pada sesi Parlimen akan datang.

Mengenai usaha mencari dua anggota tentera darat yang dilaporkan hilang di Pulau Perak, Kedah, Mohamad berkata pencarian di darat terus dibuat namun ia akan dipergiat jika ada petunjuk baharu.

"Namun setakat ini tanda-tanda baharu itu belum lagi muncul," kata beliau. - BERNAMA

Advertisement