Anda di sini

Manfaat persaraan dengan sebaiknya, kata Madius

Advertisement
 Madius (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara penjawat awam (dua dari kanan), sambil diperhatikan oleh Rosmadi (tiga dari kanan) dan tetamu yang lain.
PENGHARGAAN: Madius (tiga dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah seorang pesara penjawat awam (dua dari kanan), sambil diperhatikan oleh Rosmadi (tiga dari kanan) dan tetamu yang lain.

TUARAN: Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau menasihati para pesara agar tidak menjadikan persaraan sebagai satu alasan untuk hidup pasif di rumah.

Sebaliknya, persaraan itu seharusnya dimanfaatkan dengan sebaiknya, sama ada dengan berehat secara sihat sambil meluangkan masa berkualiti bersama keluarga tersayang mahupun melakukan aktiviti kemasyarakatan.

"Atau apa sahaja aktiviti memberi nilai tambah kepada masyarakat iaitu jangan sekadar bersara daripada sesuatu keadaan, bersaralah dengan adanya sesuatu dibuat. Jangan sia-siakan masa yang ada," katanya.

Beliau berkata demikian sempena Majlis Jasamu Dikenang bagi Zon Daerah Tuaran di Shangri-La Rasa Ria Resort, di sini semalam.

Seramai 71 pegawai yang bersara dari perkhidmatan awam negeri bagi Zon Tuaran meliputi Daerah Tuaran, Kota Belud dan Daerah Kecil Tamparuli menerima sijil penghargaan dan syiling emas.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata, di Singapura, pesara di negara itu masih aktif bekerja dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada negara mereka.

"Saya percaya pesara kita juga mampu berbuat demikian. Apatah lagi dengan sokongan kenyataan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia yang menyatakan bahawa pesara adalah aset negara yang memerlukan perhatian, penghargaan dan penjagaan kebajikan secara berterusan bagi memastikan kelangsungan produktiviti kepada masyarakat.

"Saya percaya semua pegawai Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri yang diterajui oleh Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, selaku pengarah sentiasa bersedia membantu walaupun penjawat awam sudah bersara," katanya.

Madius berkata apabila memasuki alam persaraan, tidak bermaksud bekas penjawat awam harus 'bersara' daripada melakukan aktiviti riadah dan bersenam.

Katanya, ia kerana menurut kajian penyelidik dari Universiti Yale dan Universiti Oxford membuktikan senaman memberikan kesihatan mental dan fizikal yang sempurna dan dapat memberi kegembiraan lebih baik berbanding memiliki wang yang banyak.

Menurutnya, kesedaran rakyat Malaysia untuk mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat walaupun sudah semakin meningkat, namun pada umumnya masih lagi membimbangkan.

Justeru, beliau mengajak para pesara membudayakan gaya hidup sihat agar kesihatan juga terjaga.

Madius juga menyentuh kesan kewangan yang terpaksa ditanggung apabila tidak menjaga kesihatan.

"Saya difahamkan jumlah perbelanjaan kesihatan secara am di negeri ini pada tahun 2017 ialah RM5.17 juta. Jumlah ini telah meningkat ke RM5.27 juta pada 2018," katanya.

Katanya, daripada jenis perbelanjaan itu, rawatan untuk dialisis mencatatkan jumlah terbesar yang dibelanjakan iaitu sebanyak RM3.44 juta pada 2017 dan meningkat ke RM3.50 juta pada 2018.

Selain itu, katanya, kos pembelian ubat-ubatan terutama untuk rawatan kanser dan jantung turut melibatkan kos yang tinggi ditampung oleh kerajaan.

"Ini bukanlah satu petanda yang baik mengenai tahap kesihatan penjawat awam kita. Oleh itu, saya memohon semua penjawat awam serta pesara kerajaan agar mengamalkan gaya hidup sihat bersama keluarga masing-masing. Amalkan senaman setiap hari dan jaga pemakanan kita lebih-lebih lagi usia kita pun semakin ke hadapan.

"Contohilah gaya hidup sihat yang diamalkan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang masih sihat fizikal dan mental di usia 94 tahun.

"Tun Dr Mahathir sentiasa menjaga pemakanan dan membuat senaman seperti berjalan dan menaiki basikal. Untuk menguatkan daya ingatan pula, beliau sentiasa rajin membaca buku dan menulis," katanya.

Madius berkata, pesara juga perlu mengamalkan perbelanjaan berhemat kerana masa persaraan mempunyai cabaran terutamanya dari segi kewangan memandangkan pesara kerajaan tidak lagi mendapat gaji penuh tetapi hanya 60 peratus daripada gaji pokok sahaja dan akan kurang lagi jika tempoh perkhidmatan kurang daripada 30 tahun.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tuaran berharap para pesara dapat berganding bahu dalam memajukan dan membangunkan Daerah Tuaran dan juga daerah lain agar terus berada di hadapan, dipacu dan diwarnai dengan arus pembangunan yang pesat.

  • oleh
  • Advertisement