Anda di sini

Konvoi JAPEN Sabah galak rakyat kibar Jalur Gemilang

Advertisement
 Samsuni melepaskan konvoi kembara merdeka di pekarangan Kompleks Bangunan Persekutuan Sabah di Sabah, semalam. — Gambar Bernama
KEMBARA MERDEKA: Samsuni melepaskan konvoi kembara merdeka di pekarangan Kompleks Bangunan Persekutuan Sabah di Sabah, semalam. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Sempena sambutan Bulan Kebangsaan, Jabatan Penerangan Sabah semalam mengadakan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang 2019 bagi menggalakkan masyarakat mengibarkan Jalur Gemilang.

Konvoi disertai 15 kenderaan jabatan itu dilepaskan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor di Dataran Bendera Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini.

Berucap pada majlis itu, Samsuni berkata konvoi bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysia Bersih’ itu  bukan sahaja bertujuan untuk memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini malah sebagai manifestasi rasa kesyukuran rakyat atas kemerdekaan negara yang sudah memasuki tahun ke-62.

“Kita sebagai rakyat Malaysia khususnya di negeri Sabah yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama dapat bersama-sama meraikan Bulan Kemerdekaan dengan penuh rasa kesyukuran serta berbangga hidup dalam negara yang harmoni.

“Konvoi ini dapat menggalakkan masyarakat supaya mengibarkan Jalur Gemilang yang menjadi lambang kedaulatan negara kita dan menyemarakkan serta menggelorakan lagi sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini,” katanya.

Konvoi berkenaan singgah di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Likas dan Hospital Queen Elizabeth 1 bagi menyerahkan Jalur Gemilang kepada pengarah di kedua-dua hospital itu. — Bernama

Advertisement