Anda di sini

Komitmen, dedikasi pemain ‘senjata’ Sarawak

Advertisement
 Mikar (empat kiri) merakam kenangan bersama peserta dan pegawai skuad bola jaring Sarawak pada kem latihan tersebut.
BERSEDIA: Mikar (empat kiri) merakam kenangan bersama peserta dan pegawai skuad bola jaring Sarawak pada kem latihan tersebut.

SIBU: Sarawak menyasarkan sekurang-kurangnya layak ke peringkat suku akhir dalam acara bola jaring pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA 2020) di Johor tahun hadapan.

Pegawai Belia dan Sukan Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), Mikar Changgan berkata untuk mencapai impian tersebut skuad bola jaring Sarawak perlu membuat persiapan awal.

“Diharapkan dengan komitmen dan dedikasi yang ditunjukkan oleh pemain-pemain, skuad bola jaring kita dapat mencapai sasaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Borneo Netball Warriors Camp 2019 yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tiong Hin di sini semalam.

Seramai 24 pemain bola jaring dari seluruh negeri termasuk Kuching, Miri, Samarahan, Bintulu, Sarikei dan Sibu menyertai kem latihan tersebut.

Pada SUKMA lalu, Sarawak hanya berjaya melayakkan diri ke peringkat kumpulan dalam dan prestasi cemerlang setakat ini dilakarkan pada SUKMA 1992 berada dalam tiga pasukan terbaik.

Mikar berkata, selepas kem tersebut mereka akan menampilkan skuad bola jaring bayangan negeri.

“Pemilihan kedua diadakan pada September depan dan senarai terakhir pemain-pemain akan dikeluarkan menjelang April tahun depan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pemain-pemain supaya berlatih dengan gigih bagi membolehkan dipilih ke pasukan bayangan.

Hadir sama Pengetua SMK Tiong Hin Tan Kok Aun, Penyelaras Majlis Sukan Sibu, Hii King Hung dan Pegawai Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) untuk sukan bola jaring, Andrea Poni.

  • oleh
  • Advertisement