Anda di sini

Frappart, Nicolosi dan O’Neill pasukan pengadil wanita pertama mengadili perlawanan tertinggi bola sepak lelaki

Advertisement
 (Dari kiri) O’Neill, Frappart dan Nicolosi  sebelum sepak mula perlawanan Piala Super Eropah di antara Liverpool dan Chelsea di Vodafone Arena, Istanbul kelmarin. — Gambar Reuters
DETIK BERSEJARAH: (Dari kiri) O’Neill, Frappart dan Nicolosi sebelum sepak mula perlawanan Piala Super Eropah di antara Liverpool dan Chelsea di Vodafone Arena, Istanbul kelmarin. — Gambar Reuters

ISTANBUL, Turki: Stephanie Frappart dan pasukan pengadilannya mendapat pujian di kalangan penyokong semasa perlawanan di antara Liverpool dan Chelsea untuk merebut Piala Super UEFA Rabu lepas.

Frappart, pengadil wanita dari Perancis itu dan pembantu beliau (penjaga garisan), Manuela Nicolosi dan Michelle O’Neill, menjadi pasukan pengadil wanita pertama yang mengadili perlawanan penting bola sepak lelaki di Istanbul.

Frappart, yang memecah tradisi apabila mengadili perlawanan tertinggi bola sepak lelaki di Perancis pada bulan April, mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak wanita, termasuk mengadili final Piala Dunia Wanita pada bulan Julai lepas.

Walau bagaimanapun, persoalan timbul tentang sama ada beliau mempunyai cukup pengalaman untuk menyelia perlawanan Piala Super UEFA. Tetapi peminat bola sepak pantas memuji prestasi beliau menerusi media sosial Rabu lepas dengan merujuk beliau sebagai salah satu sebab kenapa perlawanan itu menjadi tumpuan.

Pelantikan Frappart sebagai pengadil juga dialu-alukan oleh pengurus dan pemain dari kedua-dua pasukan.

Pengurus Chelsea, Frank Lampard, berkata: “Ia berita hebat. Saya sangat gembira menjadi sebahagian saat bersejarah ini. Ia sudah lama tertangguh.”

Bagi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp, beliau juga menggambarkan pelantikan pengadil wanita begitu lama dinanti, dengan berkata: “Saya fikir sudah tiba masanya. Ia kali pertama, ia istimewa tetapi saya berharap ia bukan yang terakhir.”

Frappart mengharungi malam yang tenang dengan beberapa tentangan dari pemain.

Beliau hanya mengeluarkan kad kuning pada minit ke-79 apabila menghukum kapten Chelsa, Cesar Azpilicueta kerana kekasaran ke atas Sadio Mane dan kapten Liverpool, Jordan Henderson, kerana kekasaran ke atas Emerson.

Pembantu Frappart juga mencuri perhatian dengan tiga keputusan tepat. Pertama sekali mengesan Christian Pulisic berkedudukan ofsaid ketika menjaringkan gol kedua Chelsea, dengan keputusan itu disahkan oleh panel video bantuan pengadil (VAR).

Pada awal separuh masa kedua, Chelsea merayu kedudukan ofsaid terhadap Roberti Firmino ketika mengumpan bola kepada Mane untuk gol penyamaan Liverpool tetapi penjaga garisan tidak mengangkat bendera dan panel VAR mengesahkan keputusan itu juga tepat.

Chelsea kemudian menjaringkan satu lagi gol yang tidak disahkan kerana ofsaid dan keputusan penjaga garisan sekali lagi disokong panel VAR.

Perdebatan utama hadir apabila Frappart memberikan Chelsea sepakan penalti pada masa tambahan selepas penyerangnya, Tammy Abraham dikasari penjaga gol Liverpool, Adrian.

Dari pandangan pengadil, ia kelihatan satu kekasaran tetapi rakaman insiden menunjukkan tiada sentuhan keras di antara pemain. Apa pun, panel VAR harus dipersalahkan apabila menyemak video dan tidak membantu beliau.

Frapart hanya mengadili beberapa perlawanan bola sepak lelaki sebelum perlawanan ini tetapi lulus pemeriksaan ketat fizikal badan induk bola sepak Eropah (UEFA) untuk pengadil lelaki.

Tiada persoalan tentang sama ada beliau mempunyai keupayaan kecergasan untuk mengekalkan rentak pergerakan pemain Liverpool dan Chelsea dalam padang.

Ketua Pengadil UEFA, Roberto Rossetti, menjelaskan bahawa tiada sebarang kebimbangan tentang Frappart atau pembantu beliau. — Reuters

Advertisement