Anda di sini

Buat sehabis baik

Advertisement
 Khirudin (tengah) melihat dari dekat ‘Smart Injector ll’ yang memenangi tempat kedua pertandingan KIK Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak semalam. — Gambar Bernama
TERTARIK: Khirudin (tengah) melihat dari dekat ‘Smart Injector ll’ yang memenangi tempat kedua pertandingan KIK Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak semalam. — Gambar Bernama

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berharap dapat memadamkan sepenuhnya kebakaran terbuka khususnya di Kuala Baram sebelum sesi persekolahan bermula Isnin depan.

Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, JBPM Sarawak akan meneruskan operasi pemadaman kebakaran itu bersama agensi lain sehingga keadaan pulih.

Beliau berkata, kaedah ‘water bombing’ turut dilaksanakan menggunakan pesawat Bombardier CL415 yang dikendalikan Agensi Penguatkuasaan Maritim  Malaysia (APMM).

“Saya telah mengeluarkan arahan (kepada semua anggota) agar operasi besar-besaran dilakukan. Kita akan melakukan yang terbaik hari ini (Khamis), Jumaat dan Sabtu untuk memadamkan kebakaran ini sebelum cuti sekolah sekarang berakhir (hujung minggu ini).

“Terdapat beberapa sekolah di Kuala Baram dan ILP Miri, jika kebakaran tidak dapat dipadamkan ia akan menjadi masalah kepada sekolah-sekolah ini,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) JBPM Negeri Sarawak di Pustaka Negeri di sini, semalam.

Khirudin berkata, JPBM Sarawak telah berdepan dengan pelbagai cabaran untuk memadamkan kebakaran di Kuala Baram kerana permukaan tanah yang agak becak menyukarkan jabatan itu membawa jentera berat bagi melakukan kerja-kerja pemadaman.

“Anggota kita terpaksa berjalan kaki ke kawasan kebakaran. Oleh itu, saya berharap dan berdoa dengan bantuan daripada helikopter serta Bombardier hari ini (semalam), api dapat dipadamkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama daripada orang ramai khususnya peladang dan pemilik tanah agar mematuhi peraturan pembakaran terbuka ditetapkan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) bagi mengelak api merebak ke kawasan lebih luas.

Ditanya mengenai kes berkaitan perbuatan khianat di Miri, Khiruddin berkata laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dilakukan.

“Mereka menggunakan peranti untuk menghidupkan api dan ia tidak mudah dikesan kerana mereka melakukan perbuatan ini pada waktu malam, oleh itu kita minta polis membuat siasatan.

“NREB juga telah diarah mengambil langkah berjaga-jaga kerana apabila kita meninggalkan kawasan terbakar sekitar jam 7 malam, mereka ini mula menghidupkan api seperti ‘tikus dan kucing’,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement