Anda di sini

100 peratus susu segar tempatan disasar dalam tempoh lima tahun

Advertisement

ROMPIN: Kerajaan menyasarkan Kadar Sara Diri (SSL) untuk pengeluaran susu segar tempatan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub.

Beliau berkata setakat 2018, SSL susu segar sebanyak 61.44 peratus dan usaha untuk meningkatkan pengeluaran giat dilakukan melalui pelaksanaan Program Pembangunan Industri Tenusu Negara yang bermula sejak 2017.

“Permintaan terhadap susu segar pada 2018 sebanyak 67.1 juta liter dan daripada jumlah itu, hampir 40.36 juta liter susu segar dihasilkan dalam negara manakala bakinya diimport dari luar seperti New Zealand dan Australia.

“Pelaksanaan program pembangunan industri tenusu negara menyasarkan peningkatan pengeluaran susu segar negara dengan tambahan sebanyak 20 juta liter melalui pengimportan 10,000 ekor induk tenusu bunting dalam tempoh lima tahun,” katanya kepada pemberita semalam.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Kilang Pemprosesan Susu Syarikat The Holstein Milk Company Sdn Bhd di Muadzam Shah di sini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, Pengarah Urusan The Hosltein Loi Tuan Ee dan Pengarah Operasi syarikat itu, Azmi Zainal.

Salahuddin berkata program pembangunan itu melibatkan empat lembah tenusu termasuklah Lembah Tenusu Muadzam di sini, selain diperluaskan ke kawasan berpotensi seperti Lembah Tenusu Muallim di Perak dan Lembah Tenusu Bernam di Selangor.

“Dalam mesyuarat Majlis Eksekutif Tindakan Ekonomi Negara minggu lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta beberapa kementerian mencadangkan produk makanan atau minuman berkhasiat yang sesuai untuk dibekalkan kepada murid sekolah.

“Kementerian kami cenderung untuk mencadangkan susu segar kerana khasiatnya selain sejarah Jepun yang menunjukkan generasi muda yang diberikan susu segar mempunyai tumbesaran yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata susu segar juga disyaratkan keluaran tempatan untuk menyokong industri tenusu negara, selain pemilihan syarikat dalam pembekalan produk itu yang perlu diperhalusi sebaiknya untuk memelihara kualiti susu.

Mengulas mengenai syarikat The Holstein, Salahuddin menyifatkan syarikat susu tempatan itu antara kejayaan industri tenusu negara kerana menghasilkan enam juta liter susu setahun, selain membantu usahawan tani dan penternak menerusi program ladang satelit.

“Saya dimaklumkan syarikat ini telah berjaya mewujudkan 32 stokis dan 620 pengedar bagi pemasaran susu.

“Ia memberikan pendapatan lumayan dengan stokis boleh menjana sehingga RM25,000 sebulan manakala pendapatan bulanan pengedar antara RM700 dan RM5,000,” katanya. — Bernama

Advertisement