Anda di sini

Waspada pesanan WhatsApp mendakwa daripada Kementerian Sumber Manusia

Advertisement
 Paparan skrin bagi laman sesawang di mana pengguna dilencongkan untuk menyemak kelayakan mereka.
‘IKLAN KAMPUNG’: Paparan skrin bagi laman sesawang di mana pengguna dilencongkan untuk menyemak kelayakan mereka.

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan berwaspada terhadap satu pesanan WhatsApp yang mendakwa ia adalah daripada Kementerian Sumber Manusia.

Difahamkan, pesanan tersebut menyatakan rakyat Malaysia yang sudah bekerja antara 1990 hingga 2019 layak untuk menerima RM8,500 daripada kerajaan Malaysia.

Satu pautan kepada sebuah laman sesawang turut disediakan bagi pengguna untuk ‘menyemak’ sama ada mereka layak ataupun tidak untuk mengeluarkan dana tersebut.

Dengan menekan pada pautan itu, pengguna diarahkan memasuki sebuah lagi laman sesawang dengan tajuk ‘Ministry of Labor and Manpower’ (Kementerian Buruh dan Tenaga Manusia) serta mengisi borang soal selidik.

“Pengguna harus berhati-hati dengan laman sesawang sedemikian kerana ketiadaan elemen-elemen laman sesawang milik kerajaan yang tipikal,” kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak (JSJK) Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah ketika dihubungi pada semalam.

Beliau menambah, ketiadaan ‘gov.my’ dalam alamat laman sesawang berkenaan di mana pengguna dilencongkan adalah tanda amaran bahawa ia mencurigakan.

Laman sesawang milik kerajaan Malaysia tambahnya, mempunyai kriteria dan ciri-ciri tertentu yang perlu dipenuhi pada pautan dan laman utamanya.

“Bagaimanapun iklan pada laman sesawang yang khusus ini kelihatan seperti ‘iklan kampung’ kerana ia tidak dibuat secara profesional,” tambahnya.

Advertisement