Anda di sini

Usahawan Bumiputera digalakkan menyertai Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2019

Advertisement
 Naroden (empat kanan) dan Abang Helmi (tiga kanan) bersama yang lain beraksi selepas majlis melancarkan kain rentang mengenai AUBS 2019 di Wisma Sumber Alam di Kuching, semalam.
SIMBOLIK: Naroden (empat kanan) dan Abang Helmi (tiga kanan) bersama yang lain beraksi selepas majlis melancarkan kain rentang mengenai AUBS 2019 di Wisma Sumber Alam di Kuching, semalam.

KUCHING: Usahawan Bumiputera di negeri ini digalakkan menyertai Anugerah Usahawan Bumiputera Sarawak 2019 (AUBS 2019) yang kini dibuka penyertaannya sehingga 30 Ogos ini.

Program merupakan anjuran Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) dan Idris Ibrahim & Co Group of Companies (IIG).

Menteri Muda E-Perdagangan Datuk Mohd Naroden Majais berkata, AUBS 2019 bakal menyaksikan lebih banyak penyertaan daripada usahawan Bumiputera yang berjaya sekali gus akan memberi motivasi kepada yang lain.

Sehubungan itu beliau berharap pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berorientasikan perniagaan seperti Dewan Perniagaan dan Perindustrian Dayak (DCCI) dan DUBS serta yang lain untuk menghantar ahli perniagaan yang berjaya menyertai anugerah.

“AUBS 2019 bertujuan mengiktiraf usahawan Bumiputera yang berjaya dan cemerlang yang menyumbang kepada ekonomi negeri, selain menjadi motivasi kepada yang lain untuk berjaya,” katanya kepada pemberita mengenai AUBS 2019 yang turut dihadiri Presiden DUBS Datu Abang Helmi Ikhwan di Wisma Sumber Alam di sini, semalam.

Beliau berkata, majlis penyampaian anugerah diadakan pada 27 Oktober 2019 di Hotel Riverside Majestic yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Naroden berkata beliau percaya ramai usahawan berjaya daripada komuniti Bumiputera di negeri ini dan pemenang anugerah berkenaan akan mewakili usahawan Bumiputera dalam Anugerah Usahawan Bumiputera Tahunan di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa.

Beliau yang juga Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) berkata PKS membentuk komuniti besar syarikat yang berdaftar di negeri ini.

Menurutnya lagi, terdapat 43,800 syarikat berdaftar dengan SME Corps pada 2011 meningkat kepada 62,000 pada tahun lepas yang mana 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan itu adalah PKS.

Maklumat lanjut mengenai AUBS 2019 boleh didapati di pusat komersial DUBS di Lot 367, Seksyen 54, Jalan Petanak atau menghubungi talian 082-233133 atau 082-2471660 atau e-mel ke dubssarawak@gmail atau pejabat kementerian di aras 2 dan 13, Wisma Sumber Alam dengan talian 082-4431280or 082-313275.

Permohonan penyertaan boleh dibuat menerusi www.dubs.my.

Advertisement