Anda di sini

Rogol anak kandung, bapa dipenjara 25 tahun dan 15 sebat

Advertisement

KOTA KINABALU: Bagai haruan makan anak, seorang pekerja kilang dikenakan penjara 25 tahun dan 15 sebat atas kesalahan merogol anak kandungnya sehingga melahirkan seorang bayi lelaki.

Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh yang berusia 45 tahun, selepas mengaku salah mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Elsie semasa menyampaikan penghakimannya berkata, kesalahan yang dilakukan tertuduh sangat serius kerana melibatkan anak kandungnya sendiri.

Tertuduh merogol mangsa yang berusia 12 tahun tiga bulan, sekitar November 2017 di sebuah rumah kampung tidak bernombor di daerah Pitas.

Sabit salah, hukuman penjara antara lapan tahun hingga 30 tahun serta tidak kurang daripada 10 sebat.

Mahkamah mendengar fakta kes yang dibacakan, pada 1 Julai tahun lalu, pengadu (pegawai perubatan) menerima seorang pesakit bawah umur (mangsa) yang sedang mengandung 32 minggu tiga hari.

Mangsa yang datang bersama ibunya selamat melahirkan bayi lelaki, sementara pengadu dimaklumkan bahawa mangsa tidak pernah berkahwin dan tidak mempunyai sijil perkahwinan.

Rekod pemeriksaan awal menunjukkan mangsa mengandung akibat dirogol dan laporan polis dibuat pengadu bagi membolehkan rawatan susulan diberikan kepada ibu dan bayi terbabit.

Bagaimanapun pada 3 Julai, doktor memaklumkan bayi mangsa meninggal dunia berpunca daripada sindrom tertelan najis dengan komplikasi pendarahan paru-paru.

Hasil siasatan lanjut, mangsa anak keempat daripada lima adik-beradik menyatakan dirinya dipaksa ayahnya untuk melakukan persetubuhan sekitar November 2017.

Bertindak atas maklumat, pada 7 April, polis berjaya menahan tertuduh sebagai orang dikehendaki di Johor Bahru.

Hasil daripada analisis DNA mendedahkan bahawa bayi berkenaan adalah anak kandung tertuduh dan mangsa.

Semasa rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam menyatakan sudah menyesal dengan perbuatannya dan mengakui kesilapannya.

"Jika saya di dalam penjara, tiada sesiapa yang akan memberikan nafkah kepada keluarga saya.

"Isteri tidak dapat bekerja dan anak-anak masih bersekolah, persekolahan mereka saya yang tanggung," katanya dan merayu hukumannya diringankan.

Namun Timbalan Pendakwaraya Mas Izatty Lukman menegaskan, tempoh pemenjaraan yang lama harus dikenakan kerana kesalahan yang dilakukan serius dan melibatkan anak kandung tertuduh sendiri.

"Mohon mahkamah mempertimbangkan emosi mangsa yang mengandung pada usia 12 tahun dan pada masa yang sama kehilangan bayinya," katanya.

Mahkamah memerintahkan hukuman tertuduh dikira dari tarikh sabitan.

  • oleh
  • Advertisement