Anda di sini

Penduduk lapor SPRM, bantah pencerobohan tanah NCR

Advertisement
 Ahmad (dua kiri) bersama Samsudin (kiri), Wahab (kanan) serta yang lain membuat aduan kepada SPRM semalam, berhubung tanah mereka ‘diceroboh’.
PERTAHAN HAK: Ahmad (dua kiri) bersama Samsudin (kiri), Wahab (kanan) serta yang lain membuat aduan kepada SPRM semalam, berhubung tanah mereka ‘diceroboh’.

KUCHING: Penduduk Kampung Tambirat, Asajaya membuat loparan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung tindakan sebuah syarikat yang dikatakan menceroboh tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka.

Diwakili Pengerusi Defendan Tanah NCR Kuching-Samarahan Ahmad Awang Ali, mereka tampil membuat laporan kepada SPRM selepas syarikat berkenaan menceroboh tanah NCR mereka walaupun telah dikaveat pada 2010.

“Hari ini kami datang ke SPRM kerana keadaan sangat terdesak, disebabkan wujudnya krisis tanah di Kampung Tambirat, Asajaya.

“Tanah ini telah diduduki orang Melayu sejak sekian lama, turun-temurun dan sekarang dimasuki sebuah syarikat.

“Sebelum ini kita telah menang empat kali apabila status pemilikan tanah ini dibawa ke mahkamah dan kali terakhir kita menang pada 2010.

“Tanah seluas 408 ekar ini seterusnya dikaveat oleh penduduk kampung dengan diwakili tiga individu yang merupakan pemilik iaitu saya sendiri, Samsudin Junit dan Wahab Nong (10 November 2010),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mewakili penduduk Kampung Tambirat membuat aduan di SPRM negeri di sini, semalam.

Ahmad berkata dari segi undang-undang, syarikat berkenaan tidak boleh memasuki tanah mereka selepas dikaviet namun sejak dua minggu lalu mereka mula memusnahkan tanaman penduduk dengan alasan sudah mendapat kebenaran daripada Jabatan Tanah dan Survei (JTS) dan pihak keselamatan.

Bukan itu sahaja katanya, pekerja syarikat berkenaan yang berada di lapangan bertindak menggertak dan menakut-nakutkan penduduk kampung khasnya pemilik tanah berkenaan.

Menurutnya pekerja syarikat berkenaan memberitahu pemilik tanah: “Kami syarikat besar, ada duit, jadi kamu semua (pemilik tanah) jangan lawan. Kami mendapat kebenaran daripada Jabatan Tanah dan Survei serta pihak keselamatan.”

Rentetan digertak dan tindakan pekerja syarikat berkenaan yang terus merosakkan tanaman mereka tanpa perikemanusiaan, penduduk kampung telah membuat hampir 10 laporan polis, bagaimanapun sehingga semalam tiada tindakan diambil.

“Tak payahlah nak gertak. Itu tindakan provokasi yang tidak baik kerana kesannya boleh menyebabkan perkara lebih buruk berlaku seperti di Simunjan dan Miri baru-baru ini. Kita tidak suka provokasi, kita lebih suka rundingan yang membawa situasi menang-menang.

“Janganlah cabar-mencabar kerana apabila dicabar, orang akan marah dan disebabkan marahlah kami datang ke SPRM hari ini meminta badan ini menyiasat jika wujudnya unsur rasuah sama ada di peringkat JTS atau polis,” katanya sambil menambah, SPRM menasihati beliau membuat aduan kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung status laporan-laporan polis dibuat berkaitan kes tersebut.

Ahmad berkata beliau mengalu-alu tindakan syarikat itu membawa semula kes itu ke mahkamah kerana berpendapat ia penyelesaian terbaik kepada kemelut tersebut.

“Saya suruh syarikat itu membawa semula kes ini ke mahkamah. Kamu (syarikat berkenaan) saman kami dan kami akan tunggu di mahkamah kerana tahu boleh menang kes ini, cuma kami tidak suka provokasi.

“Kalau kes ini dibawa ke mahkamah senang cerita dan kita akan menerima kekalahan jika itu keputusannya dan kalau kemenangan berpihak kepada kami lagi baik...

“Cuma saya terkilan kerana tiada tindakan diambil terhadap laporan-laporan polis yang dibuat sehingga hari ini,” ujarnya.

Menurut Ahmad tanah berkenaan sebelum ini dimiliki kira-kira 20 ‘orang besar’ berbangsa Cina dan majoritinya berasal dari Sibu yang mempunyai geran tanah untuk tanah-tanah tersebut namun sudah tamat tempoh.

“Sebelum ini tanah itu dimiliki 20 individu dan mereka mempunyai surat tanah, dari segi undang-undang memang sah tetapi tuntutan kita ialah NCR yang telah didiami orang Melayu sejak 100 tahun serta ditanam pelbagai tanaman.

“Bagaimanapun geran tanah mereka sudah tamat tempoh dan dari segi undang-undang Jabatan Tanah dan Survei tidak boleh memperbaharui geran tanah ini jika tanah berkenaan dalam krisis tanah, tambahan sudah dikaveat,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement