Anda di sini

Nora Anne: Peguam Negara akan tentukan sama ada inkues perlu

Advertisement
 Sankara yang mewakili keluarga Nora Anne ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam. — Gambar Bernama
BERI PENERANGAN: Sankara yang mewakili keluarga Nora Anne ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Hasil laporan bedah siasat mayat remaja Ireland Nora Anne Quoirin, 15, akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara, bagi menentukan sama ada terdapat keperluan untuk mengadakan inkues.

Peguam yang mewakili keluarga Nora Anne, Sankara Nair berkata ia merupakan prosedur biasa yang perlu dilakukan dan Peguam Negara yang kemudiannya akan menentukan tindakan lanjut.

“Secara prosedur apa yang akan berlaku ialah satu salinan laporan bedah siasat akan diserah kepada pejabat AG (Peguam Negara) dan terserah kepada AG membuat keputusan atau mengarahkan tentang keperluan mengadakan inkues.

“Biasanya kematian secara mengejut seperti ini akan membawa kepada  inkues tetapi sekali lagi ia bergantung kepada bukti yang dibentangkan dalam laporan bedah siasat dan siasatan lain oleh polis,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Ditanya kehadiran keluarga Nora Anne di Jabatan Perubatan Forensik HTJ pagi semalam, Sankara berkata ia bertujuan mengesahkan identiti mayat itu sekali lagi sebelum bedah siasat dimulakan.

Mengulas mengenai keadaan keluarga Nora Anne, Sankara berkata setakat ini keluarga masih berada dalam keadaan trauma dan bersedih.

“Kami belum membincangkan rancangan seterusnya. Saya rasa mereka masih menimbangkan tindakan seterusnya dan mereka masih bersedih dan saya fikir ia belum ada dalam fikiran mereka,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan SAC Che Zakaria Othman berkata proses bedah siasat mayat Nora Anne akan mengambil masa lebih 3 jam.

Kelmarin, mayat wanita berkulit cerah ditemui pada jam 1.57 tengah hari dan disahkan anggota keluarganya sebagai Nora Anne, remaja yang dilapor hilang dari sebuah resort, di Pantai, Seremban awal bulan ini.

Nora Anne, 15, bersama keluarganya tiba di Malaysia pada 3 Ogos bagi percutian selama dua minggu di sini dan remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu disedari hilang oleh keluarganya dari bilik penginapan mereka pada jam 8 pagi hari berikutnya. — Bernama

Advertisement