Anda di sini

Lelaki ditahan cuba langgar polis

Advertisement
 

BUKIT MERTAJAM: Polis menahan seorang lelaki dan sedang memburu rakannya kerana cuba melanggar beberapa anggota polis yang mahu membuat pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki mereka dalam kejadian berhampiran pasar di Jalan Muthu Palaniappan, di sini kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Supt Mustafa Bidin berkata dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, sepasukan polis yang sedang menjalankan rondaan pencegahan jenayah di kawasan itu ternampak sebuah kereta Myvi dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan.

“Pegawai polis berpangkat inspektor berkenaan kemudian menghampiri kereta itu dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa terhadap pemandu kenderaan tersebut, namun mereka bertindak agresif untuk meloloskan diri dengan cuba melanggar polis yang ingin membuat pemeriksaan,” katanya, di sini semalam.

Beliau berkata pegawai polis dan beberapa anggotanya yang berada berhampiran kereta itu terkejut dengan tindakan lelaki tersebut dan bernasib baik kerana sempat mengelak daripada dilanggar.

Katanya, polis kemudiannya bertindak mengejar kereta Myvi itu kira-kira lima kilometer dan berjaya menghentikannya berhampiran sebuah rumah kedai serta berlaku pergelutan sebelum polis menahan penumpang kereta berusia 49 tahun tersebut.

Mustafa berkata bagaimanapun pemandu kereta itu yang bertindak agresif berjaya melarikan diri dengan memecut laju kereta Perodua Myvi yang disewa dua lelaki berkenaan sejak Selasa lepas.

Menurutnya, semasa polis mengejar kenderaan dinaiki dua lelaki itu, pemandu kereta Myvi tersebut telah bertindak melanggar beberapa buah kereta dan motosikal yang diparkir di kawasan kejadian untuk meloloskan diri sehingga menyebabkan kenderaan di situ mengalami kerosakan.

“Ujian air kencing mendapati lelaki yang ditahan itu positif dadah dan turut memiliki empat rekod jenayah lampau manakala rakannya yang telah dikenal pasti identitinya itu mempunyai lima rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau berkata usaha memburu lelaki berusia 31 tahun itu giat dijalankan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan. — Bernama

Advertisement