Anda di sini

Lebih 10 orang protes bantah pengenalan tulisan khat

Advertisement
 Peserta mengambil bahagian dalam protes tersebut di Sibu semalam.
BANTAH: Peserta mengambil bahagian dalam protes tersebut di Sibu semalam.

SIBU: Lebih 10 orang hadir mengadakan protes di luar bangunan Kompleks Persekutuan di sini semalam membantah pengenalan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 pada 2020.

Salah seorang peserta, Winston How Cheng berkata protes itu dijangka berterusan sekiranya kerajaan tidak menarik balik keputusan tersebut.

“Kita semua hadir pada hari ini (semalam) sebagai individu dan bukan daripada mana-mana parti atau organisasi politik.

“Kami adalah individu yang sangat mengambil berat tentang isu ini,” katanya di sini semalam.

Winston turut menggesa orang ramai supaya tidak memandang ringan isu tersebut.

Katanya, peserta memilih mengadakan protes di luar Kompleks Persekutuan kerana di situ terletaknya Jabatan Pendidikan Bahagian Sibu.

Seorang lagi peserta, Joseph Chieng berkata walaupun isu itu sudah tidak dipersetujui banyak pihak sejak beberapa minggu lalu namun kerajaan Pakatan Harapan (PH) tetap berdegil untuk meneruskannya.

“Keputusan kerajaan terbabit tidak dapat diterima terutama bagi rakyat Sarawak,” jelasnya.

Menurutnya, lebih mendukacitakan apabila pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) dari Sarawak menyerahkan sepenuhnya suara rakyat kepada kabinet.

“Kami tidak mahu kemasukan seni khat tulisan Jawi ke dalam sukatan mata pelajaran Bahasa Melayu darjah empat di sekolah rendah,” katanya sambil berharap kerajaan PH mendengar suara rakyat.

Advertisement