Anda di sini

Kumpulan Public Bank catat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.55 bilion

Advertisement
TEH HONG PIOW
TEH HONG PIOW

KUCHING: Kumpulan Public Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM3.55 bilion bagi setengah tahun pertama berakhir pada 30 Jun  tahun ini.

Sementara, keuntungan bersih milik pemegang-pemegang saham ialah RM2.74 bilion berbanding RM2.80 bilion yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelum ini.

Pengasas, Pengerusi Emeritus, Pengarah dan Penasihat Public Bank Tan Sri Datuk Sri Dr Teh Hong Piow berkata, ia kerana persekitaran ekonomi dan perbankan semakin mencabar.

“Selain itu, berikutan pengurangan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada bulan Mei 2019, bank-bank domestik menghadapi pengurangan margin faedah bersih yang menjejaskan keuntungan bagi setengah tahun pertama berakhir pada 30 Jun 2019.

“Bagaimanapun, kecuali kesan negatif daripada pengurangan OPR itu, Kumpulan Public Bank berupaya mengekalkan keuntungan yang stabil diteguhkan oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik, kualiti aset yang stabil dan pengurangan kos yang berhemat,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Dalam menghadapi cabaran yang semakin meningkat berikutan pertumbuhan sektor perbankan domestik yang sederhana dan tekanan margin faedah yang berterusan, Teh berkata, Kumpulan Public Bank berpendapat mengekalkan kecekapan kos dan kualiti aset yang kukuh adalah penting bagi perniagaan jangka panjang yang mampan.

Menurutnya, dengan fokus yang strategik, Kumpulan Public Bank terus mengekalkan nisbah pinjaman pengurangan nilai yang stabil sebanyak 0.5 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 34.2 peratus  membawa kepada pulangan ekuiti bersih yang teguh sebanyak 13.6 peratus untuk setengah tahun pertama tahun 2019.

Berikutan prestasi kewangan Kumpulan Public Bank yang stabil itu, beliau mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama sebanyak 33 sen sesaham, yang diterjemahkan kepada pembayaran dividen berjumlah RM1.28 bilion bagi tahun 2019.

“Dividen interim pertama itu akan dibayar pada 10 September 2019 berdasarkan tarikh kelayakan dividen pada 29 Ogos 2019,” ujarnya.

Mengenai pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik,  Teh, jumlah pinjaman Kumpulan Public Bank meningkat dengan baik dengan kadar tahunan sebanyak 4.0 peratus kepada RM323.7 bilion dalam setengah tahun pertama tahun 2019.

“Pinjaman domestik yang meliputi 90 peratus daripada portfolio pinjaman Kumpulan Public Bank , berkembang pada kadar tahunan sebanyak 4.3 peratus, lebih tinggi daripada pertumbuhan pinjaman tahunan sistem perbankan sebanyak 2.7 peratus.

“Pengembangan dalam portfolio pinjaman Kumpulan Public Bank adalah terutamanya disebabkan oleh pertumbuhan kukuh dalam perniagaan pembiayaan teras hartanah kediaman dan komersial,” katanya.

Dari segi pendanaan, ujarnya, Kumpulan Public Bank mencapai pertumbuhan deposit yang baik, mencatatkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.9 peratus  kepada RM349.1 bilion.  

Manakala tambahnya, deposit domestik berkembang baik dengan kadar tahunan sebanyak 5.7 peratus dalam setengah tahun pertama tahun 2019 berbanding dengan pertumbuhan deposit tahunan sistem perbankan sebanyak 1.6 peratus

“Dalam memperluaskan asas depositnya, Kumpulan Public Bank akan terus mengimbangkan pertumbuhan deposit dengan kos pendanaan. Pada akhir bulan Jun 2019, kedudukan pendanaan Kumpulan Public Bank terus stabil dengan nisbah pinjaman kasar dan ekuiti yang baik sebanyak 78.9 peratus,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Teh memberitahu Kumpulan Public Bank mencapai pertumbuhan sebanyak 8.1 peratus dalam pendapatan bukan faedah terutamanya disebabkan oleh pendapatan pelaburan dan pendapatan fi perbankan yang lebih tinggi pada setengah tahun pertama tahun 2019.

“Perniagaan pengurusan unit amanah Kumpulan Public Bank melalui subsidiari milik penuhnya, Public Mutual, terus menjadi penyumbang terbesar, merangkumi 35 peratus daripada jumlah pendapatan bukan faedah Kumpulan Public Bank.

“Dalam setengah tahun pertama tahun 2019, meskipun berlaku volatiliti dan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan, Public Mutual terus menerajui industri unit amanah swasta domestik dengan bahagian pasaran runcit sebanyak 36.4 peratus.

“Pada akhir bulan Jun 2019, Public Mutual mengendalikan sejumlah 151 dana, dengan jumlah nilai aset bersihnya meningkat kepada RM84.4 bilion daripada RM78.7 bilion pada akhir tahun 2018,”  jelasnya.

Biarpun terdapat cabaran yang berpunca daripada tekanan pertumbuhan pendapatan dan pemampatan margin, kata beliau, Kumpulan Public Bank dapat mengekalkan nisbah kos kepada pendapatan sebanyak 34.2 peratus berbanding dengan nisbah kos kepada pendapatan industri perbankan sebanyak 44.6 peratus.

“Pengurusan kecekapan kos yang berkesan oleh Kumpulan Public Bank membantu mengurangkan kesan daripada tekanan margin faedah. Rekod kecemerlangan pengurusan kos yang berhemat oleh Kumpulan juga terus menjadi kelebihan untuk Kumpulan apabila tekanan kos yang semakin meningkat itu dijangka berterusan,” ujarnya.

Menurutnya, Kumpulan Public Bank terus mencapai nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar yang rendah sebanyak 0.5 peratus jauh lebih rendah daripada nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar sistem perbankan sebanyak 1.6 peratus pada akhir bulan Jun 2019.

“Kualiti aset Kumpulan Public Bank yang kukuh itu berjaya mengekalkan keyakinan orang ramai di tengah-tengah persekitaran ekonomi yang mencabar.

“Namun demikian, Kumpulan Public Bank mengekalkan perlindungan kerugian pinjaman yang tinggi sebanyak 116.0 peratus  jauh melebihi perlindungan kerugian pinjaman industri perbankan sebanyak 91.1 peratus. Termasuk rizab pengawalseliaan tambahan yang diketepikan sebanyak RM1.9 bilion, perlindungan kerugian pinjaman Kumpulan adalah lebih tinggi pada 226.5 peratus,” katanya.

Mengenai operasi luar negeri kata Teh, ia menyumbang 10.5 peratus kepada keuntungan sebelum cukai Kumpulan Public Bank, terutamanya daripada Public Financial Holdings Limited Group di Hong Kong (PFHL) dan Cambodian Public Bank Plc (Campu Bank) bagi setengah tahun pertama tahun 2019.

“Bagi operasi luar negeri, Kumpulan Public Bank akan terus menumpukan perniagaan perbankan runcitnya terutamanya dengan memanfaatkan peluang yang semakin bertambah di Indo-China.

Selain Kemboja, Kumpulan aktif dalam mengembangkan rangkaian cawangannya di Vietnam. Sejak dua tahun yang lepas, Kumpulan Public Bank telah membuka 11 buah cawangan baharu di Vietnam, dan Kumpulan Public Bank menyasarkan untuk mengembangkan lagi penguasaannya di negara itu dengan pembukaan 40 buah cawangan dalam tiga tahun akan datang,” katanya.

Pada akhir bulan Jun tahun ini, kata beliau, ekuiti biasa nisbah modal Kumpulan I, nisbah modal Kumpulan I dan jumlah nisbah modal Kumpulan Public Bank masing-masing berada pada 13.2 peratus, 13.6 peratus dan 16.0 peratus.

“Asas modal Kumpulan Public Bank terus teguh. Kumpulan memberi penekanan yang lebih dalam usaha untuk mengekalkan kedudukan modal dan kunci kira-kira yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan perniagaannya yang berterusan,” katanya.

Melangkah ke hadapan tatkala ekonomi Malaysia dijangka kekal pada landasan yang kukuh disokong oleh permintaan domestik, tekanan ke bawah termasuk pertumbuhan ekonomi global yang menyederhana dan cabaran yang banyak, terutamanya daripada pihak luaran, akan terus memberi kesan negatif kepada perniagaan dan sentimen pasaran kewangan.

Teh berkata: “Berlatarbelakangkan keadaan ini, Kumpulan Public Bank akan terus mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam mengembangkan perniagaannya.

“Walaupun jenama PB akan terus meletakkan Kumpulan pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang perniagaan yang ada, Kumpulan akan memantau dengan lebih ketat perubahan dalam persekitaran operasi, dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk memperkemaskan lagi strategi pengoperasiannya ke arah pertumbuhan perniagaan yang berterusan”.

Selain itu, katanya,  dalam usaha untuk mengekalkan asasnya yang kukuh, Kumpulan akan berusaha untuk menyediakan inisiatif baharu, seperti pendigitalan perbankan dan produk kewangan yang inovatif dan jelas berbeza, bagi pertumbuhan perniagaan dalam tempoh jangka panjang.

Advertisement