
LEBIH 800 peserta termasuk dari luar negara menyertai IEM Engineer’s Run Sarawak 2019 yang diadakan di Pusat Beli-Belah Mydin, Petra Jaya baru-baru ini.
Larian memasuki edisi kelima penganjurannya itu mempertandingkan kategori 21 kilometer dan larian santai 5 kilometer.
Pengerusi IEM Sarawak, Ir Haidel Heli berkata larian yang telah bermula sejak 2014 itu merupakan salah satu aktiviti diletakkan dalam kalendar tahunan IEM Sarawak.
“Alhamdulillah, ia masih mendapat sambutan begitu memberangsangkan daripada para peserta tempatan termasuk dari luar negara yang bertanding dalam larian kompetitif sejauh 21 kilometer,” kata Haidel.


Beliau turut merakamkan penghargaan ke atas penaja Bluescope Lysaght (penaja platinum), Musyati (penaja perak) dan Mega Geo Solutions (penaja gangsa) atas sokongan membolehkan IEM Sarawak meneruskan penganjuran pada tahun ini.
Tidak lupa katanya kepada rakan penganjur seperti Indocafe, Universiti Swinburne, Ultron, SAINS, Moma Water, Revive, the Gym Box dan Mydin.
Sementara itu, peserta Kenya mendominasi tiga kedudukan teratas kategori 21 kilometer lelaki dan wanita.
Joseph Mwangi Ngare mencatat masa terpantas 1:04:48 saat untuk muncul johan kategori lelaki, menewaskan dua rakan senegara Lel Kipchirchir dan John Muiruri Mburu di tempat kedua dan ketiga.
Dalam kategori wanita, kepantasan Alice Muthoni Koigi sukar ditandingi dengan mencatat 1:19:02 saat untuk muncul johan.
Di tempat kedua Jackline Nzivo dan Naum Jepkosgei menduduki tempat ketiga.

Johan untuk kedua-dua kategori itu menerima wang tunai RM2,000 dan medal.
Tempat kedua menerima RM1,500 dan medal manakala tempat ketiga meraih RM1,000 dan medal.
Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti Sarawak, Dato Ir Alice Jawan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang.