Anda di sini

Fomen didenda kerana mencabul wanita

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM3000 atau penjara tiga bulan terhadap seorang fomen selepas didapati bersalah mencabul seorang wanita yang terlibat dalam satu kemalangan bersamanya pada Mac lepas.

Majisteret Wong Chai Sai mengenakan denda kepada P. Naveendran, 39, yang memakai baju biru dan berseluar jeans, selepas beliau mengaku salah atas pertuduhan yang dibacakan.

Naveendran dituduh melakukan kesalahan tersebut ke atas seorang wanita berusia 22 tahun, selepas kenderaan mereka berlanggar dalam satu kemalangan yang menyebabkan kerosakan, di Lebuh Raya Persekutuan berhampiran Brickfields pada 3 petang, 26 Mac 2019.

Mengikut fakta kes, ketika tertuduh berbincang dengan mangsa, beliau secara tiba-tiba dengan niat merangkul bahu dan pinggang mangsa tanpa kebenarannya.

Tertuduh turut memberitahu mereka yang datang untuk membantu yang beliau adalah teman lelaki mangsa, sedangkan, mangsa tidak mengenalinya.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman apabila disabitkan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Wan Ahmad Hakim Wan Ahmad Jaafar memohon untuk mahkamah menjatuhkan hukuman penjara, kerana ianya telah menyebabkan trauma dan ketakutan kepada mangsa, manakala tertuduh yang tidak diwakili, memohon untuk hukuman ringan.

Majistret Wong kemudiannya menjatuhkan hukuman denda kepada tertuduh, kerana itu merupakan kesalahan pertama tertuduh dan tindakan tersebut tidak melibatkan anggota badan yang sensitif. - Bernama 

Advertisement