Anda di sini

Dua lelaki didenda RM2,000, miliki peralatan judi haram

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua lelaki tempatan dikenakan denda sebanyak RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan memiliki peralatan judi haram.

Vincent Chua Siong Hwa, 28, dan Chao Sun Yuan, 50, dijatuhkan hukuman itu selepas mengaku salah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie.

Jika gagal membayar denda terbabit, mahkamah mengarahkan penjara selama tempoh dua bulan dikenakan terhadap mereka.

Pada 22 Mei jam 5 petang di Sky Mobile, kedai Taman Suria Apartment Penampang, Vincent didapati memiliki sehelai kertas tercatat nombor-nombor loteri haram.

Sementara Chao berada dalam milikannya 13 helai kertas tercatat angka-angka loteri 4D haram pada 15 Jun jam 3.20 petang di Jalan Taman Ketiau-Tombovo, Putatan.

Kedua-dua tertuduh disabitkan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara selama enam bulan, atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, Vincent dan Chao ditahan polis kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan nombor loteri tanpa lesen, di dua tempat berasingan dan pada hari yang berbeza.

Polis juga merampas beberapa barang yang dipercayai digunakan dalam urusan jual beli loteri haram dan dibawa ke balai polis untuk siasatan serta tindakan lanjut.

Dalam pada itu, mahkamah mengarahkan wang rampasan masing-masing sebanyak RM379 dan RM690 diserahkan kepada pembendaharaan negara.

Pegawai Pendakwa Insp Suzie @Stephanie Kupit melakukan kedua-dua pendakwaan berkenaan.

  • oleh
  • Advertisement