PUTRAJAYA: Mereka yang mempunyai kisah pengorbanan anggota keluarga sama ada ibu, bapa, datuk, nenek, pasangan atau penjaga yang boleh dijadikan suri teladan bagi institusi keluarga, adalah digalakkan untuk menyertai pencalonan Anugerah Khas Keluarga 2019.
Anugerah anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu tidak menawarkan ganjaran dalam bentuk wang tunai namun bertujuan memberi penghargaan buat insan teristimewa dalam keluarga serta mengangkat wira keluarga sebagai contoh.
“Kalau letak hadiah wang tunai, motivasinya berbeza. Masyarakat memerlukan banyak role model institusi keluarga dan cerita teladan yang bagus untuk dicontohi,” kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dalam sidang media berhubung anugerah berkenaan di KPWKM di sini semalam.
Beliau berkata anugerah tersebut terbahagi kepada lima kategori iaitu anugerah khas bapa, anugerah khas ibu, anugerah khas datuk /nenek, anugerah khas suami/isteri dan anugerah khas penjaga.
“Antara kriteria yang diperlukan bagi pencalonan setiap kategori ialah calon mesti mempunyai sifat kepimpinan yang terserlah dan bergiat aktif dalam aktiviti kemasyarakatan dan sukarelawan,” katanya.
Yeoh berkata pencadang mestilah berumur 16 tahun ke atas dan borang boleh dimuat turun secara dalam talian di http://keluarga.lppkn.gov.my/akk.
Setiap penyertaan perlu disertakan dengan dua keping gambar calon, video satu minit yang menceritakan pengorbanan serta penceritaan 100 patah perkataan mengenai calon.
Tarikh tutup penyertaan ialah pada 31 Ogos dan majlis penyampaian anugerah akan diumumkan selepas itu. — Bernama