Anda di sini

Ahli keluarga tentera hilang diterbangkan ke Kedah

Advertisement
 Fatimah bersama keluarga David yang terdiri daripada bapanya, Edmund Rapi (dua kiri) Teresa, Nur Lina dan Morni selepas sidang media di LTAK semalam. Turut kelihatan, Chai (kiri).
BANTUAN: Fatimah bersama keluarga David yang terdiri daripada bapanya, Edmund Rapi (dua kiri) Teresa, Nur Lina dan Morni selepas sidang media di LTAK semalam. Turut kelihatan, Chai (kiri).

KUCHING: Empat ahli keluarga Koperal David Edmund Rapi diterbangkan ke Kedah semalam, bagi mendapatkan maklumat serta membawa pulang ba-rangan peribadi mangsa.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, keluarga David dari Dalat yang diiringi seorang Pegawai Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Negeri (UKPN) Zayadi Sebeli akan berlepas ke Kuala Lumpur seterusnya ke Kedah semalam dan dijangka kembali pada 17 Ogos.

Beliau berkata, kos penerbangan ditanggung oleh Kerajaan Sarawak manakala logistik dari Alor Setar ke kem askar diurus oleh Rumah Sarawak.

“Ahli keluarga David yang terdiri daripada bapanya, Edmund Rapi Idal, Teresa Hamline Neh (ibu), Morni (abang) dan Nur Lina Aisyah (adik) serta pegawai keselamatan daripada UKPN, Zayadi akan  berangkat ke Kuala Lumpur pada jam 10.15 pagi dan seterusnya ke Alor Setar, Kedah jam 2.30 petang hari ini (semalam).

“Selepas sampai di Alor Setar, mereka akan menginap di rumah rehat kem tentera di sana.

“Tujuan ahli keluarga ke sana adalah untuk mengambil barangan hak milik Koperal David Edmund Rapi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung bantuan kerajaan negeri kepada ahli keluarga anggota tentera yang hilang di Pulau Perak di Bilik Media, Terminal VIP, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, semalam.

David, 39, adalah antara dua anggota tentera termasuk Lans Koperal Moses Logers, 25,  yang dilaporkan  hilang ketika bertugas di kawasan Ops Pejarak di Pulau Perak, Kedah sejak 19 Julai lalu.

Fatimah memberitahu, beliau turut menawarkan keluarga Moses untuk mengikuti penerbangan sama namun mereka telah menolak pelawaan tersebut.

“Keluarga Moses memaklumkan tidak akan turut serta kerana sebelum ini sudah pergi ke Pulau Perak atas inisiatif mereka sendiri. Mungkin kerana mereka mempunyai pengalaman buruk di sana,” ujarnya.

Fatimah yang mewakili ahli keluarga David dan keluarga Moses dari Bau berharap operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa diteruskan sehingga mereka ditemui.

“Kerajaan negeri dan ahli keluarga juga berharap maklumat mengenai kedua-dua anggota tentera yang hilang ini dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Fatimah turut merakamkan  penghargaan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg serta pihak yang terlibat dalam memberi bantuan kepada keluarga anggota tentera yang hilang ini.

“Terima kasih juga diucapkan kepada Pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Jaul Samion dan Pengarah UKPN Datuk Dr Chai Khin Chung yang membantu mengatur perjalanan keluarga David ke sana.

“Selain itu, kita berterima kasih kepada Leftenan Jeneral (B) Datuk Stephen Mundaw (bekas Panglima Medan Timur) kerana membantu untuk berhubung dengan Kementerian Pertahanan bagi memudahkan perjalanan keluarga David ke sana,” ujarnya.

  • oleh
  • Advertisement