Anda di sini

Waspada 'iklan kampung' menyamar Kementerian Sumber Manusia 

Advertisement
Paparan skrin bagi laman sesawang di mana pengguna dilencongkan untuk menyemak kelayakan mereka.
Paparan skrin bagi laman sesawang di mana pengguna dilencongkan untuk menyemak kelayakan mereka.

KUCHING: Orang ramai dinasihatkan untuk berwaspada dengan satu pesanan WhatsApp yang mendakwa ia adalah daripada Kementerian Sumber Manusia.

Pesanan itu menyatakan rakyat Malaysia yang bekerja antara tahun 1990 hingga 2019 layak menerima RM8,500 dari kerajaan Malaysia.

Dalam pesanan WhatsApp itu, satu pautan kepada sebuah laman sesawang turut disediakan bagi pengguna untuk "menyemak" sama ada mereka layak ataupun tidak untuk mendapatkan dana tersebut.

Apabila menekan pautan tersebut, pengguna akan dilencongkan kepada sebuah lagi laman sesawang 'Ministry of Labor and Manpower' (Kementerian Buruh dan Tenaga Manusia) serta borang soal selidik.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak Superintenden Mustafa Kamal Gani Abdullah, orang ramai harus berhati-hati kerana ia tidak mempunyai ciri laman web kerajaan seperti "gov.my".

"Pengguna harus berhati-hati dengan laman web tersebut kerana tidak ada unsur atau ciri khas laman web kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini. 

Laman sesawang milik kerajaan Malaysia, tambahnya, mempunyai kriteria dan ciri-ciri tertentu yang perlu dipenuhi pada pautan dan laman utamanya.

"Bagaimanapun iklan pada laman sesawang yang khusus ini kelihatan seperti 'iklan kampung' kerana ia tidak dibuat secara profesional," tambahnya.
 

  • oleh
  • Advertisement