Anda di sini

Tunggu arahan baik pulih, bina sekolah daif

Advertisement
 Manyin (kiri) pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Persidangan Antarabangsa MELTA Ke-28. Turut kelihatan Raja Nazhatul Shima dan Ganakumaran. — Gambar Muhammad Rais Sanusi
TUNGGU ARAHAN: Manyin (kiri) pada sidang media selepas mewakili Ketua Menteri merasmikan Persidangan Antarabangsa MELTA Ke-28. Turut kelihatan Raja Nazhatul Shima dan Ganakumaran. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

KUCHING: Kerja membaik pulih atau membina semula sekolah daif di Sarawak akan dimulakan sebaik menerima arahan daripada Kementerian Kewangan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata, untuk fasa pertama, 37 sekolah daif di seluruh Sarawak telah dikenal pasti untuk dibaik pulih.

Beliau berkata 37 sekolah berkenaan diberi keutamaan untuk baik pulih fasa pertama dan senarai sekolah tersebut telah dikemukakan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Menurutnya, Sarawak telah menjelaskan RM350 juta kepada kerajaan persekutuan untuk digunakan semula bagi membaik pulih dan membina sekolah daif di negeri ini.

“Pada mesyuarat bersama Menteri Pendidikan Malaysia (Dr Maszlee Malik) pada minggu lalu beliau memaklumkan kepada saya bahawa KPM masih menunggu arahan daripada Kementarian Kewangan untuk memulakan kerja membaik pulih dan membina sekolah daif yang sudah dikenal pasti bagi fasa pertama.

“Sebaik kita menerima arahan nanti, kita akan mengeluarkan tender terbuka untuk kerja membaik pulih atau membina semula sekolah-sekolah ini,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Terdahulu beliau mewakili Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg merasmikan Persidangan Antarabangsa Persatuan Pengajar Bahasa Inggeris Malaysia (MELTA) Ke-28 di sebuah hotel di sini yang turut dihadiri Penaung MELTA Raja Puan Besar Perak Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Presiden MELTA Profesor Dr Ganakumaran Subramaniam.

Manyin berkata sebagai permulaan lima daripada 37 sekolah itu akan dibaik pulih atau dibina semula dan projek tersebut akan dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik pada tarikh yang masih belum dapat ditentukan lagi.

Beliau menambah, kebanyakan sekolah yang akan dibaik pulih atau dibina semula pada fasa pertama ini terletak di luar bandar.

Ketika ini sebanyak 415 sekolah daif dikenal pasti di Sarawak yang memerlukan perhatian sama ada dibaik pulih atau dibina semula.

Pada 5 Ogos lalu, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ketika berucap pada satu majlis berkata Kerajaan Sarawak telah menjelaskan RM350 juta daripada RM1 bilion hutangnya kepada kerajaan persekutuan untuk digunakan semula bagi menangani isu sekolah daif di negeri ini.

Sehubungan itu beliau mahu kerajaan persekutuan segera melaksanakan kerja baik pulih dan membina semula sekolah daif di negeri ini kerana wang tersebut sudah dijelaskan.

Kementerian Kewangan sebelum ini berkata hanya akan membayar RM350 juta kepada Sarawak jika Sarawak membayar jumlah yang sama kepada kerajaan persekutuan.

Kerajaan persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kewangan juga telah bersetuju untuk Sarawak menjelaskan RM1 bilion hutangnya menerusi kaedah kontra bagi tujuan menangani isu sekolah daif di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan Manyin berkata setakat ini pelaksanaan sekolah berpusat di Sarawak tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana kurang mendapat sokongan daripada wakil rakyat di negeri ini.

Menurutnya setakat ini hanya seorang wakil rakyat menyatakan persetujuan untuk menubuhkan sekolah berpusat di konstituensinya.

“Kita (kementeriannya) telah menulis surat kepada semua YB (wakil rakyat) meminta mereka mengemukakan kepada kita mana-mana sekolah kurang murid (SKM) di konstituensi masing-masing agar sekolah berpusat ditubuhkan tetapi hanya seorang berbuat demikian,” ujarnya.

Beliau berkata terdapat banyak sekolah di negeri ini dikategori sebagai SKM dengan ada antaranya hanya mempunyai 10 murid.

KPM katanya, menyokong inisiatif kerajaan negeri itu kerana ia dilihat sebagai idea yang baik dalam usaha mengurangkan kos operasi.

  • oleh
  • Advertisement