Anda di sini

Tiga kes baharu kebakaran belukar dicatatkan setakat 10 pagi

KUCHING: Sebanyak 406 kes kebakaran belukar dilaporkan di seluruh negeri termasuk tiga kes terbaru setakat pukul 10.30 pagi, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Tiong Ling Hii berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan kawasan yang terjejas seluas 1,125 ekar.

Menurutnya, tiga kes terbaru dilaporkan adalah di Kuching, Sri Aman dan Miri.

"Jumlah kes kebakaran belukar dari 1 hingga 14 Ogos (hari ini) adalah sebanyak 406 kes iaitu termasuk tiga kes yang dilaporkan setakat jam 10.30 pagi hari ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Secara purata, JBPM Sarawak menerima sekurang-kurangnya 30 kes kebakaran belukar setiap hari sejak 1 Ogos .

"Jumlah kes kebakaran belukar tertinggi ialah pada Isnin (12 Ogos) iaitu sebanyak 65 kes, Sabtu (10 Ogos) 58 kes dan Ahad (11 Ogos) sebanyak 55 kes," katanya.

Dalam pada itu, bacaan indeks kualiti udara di Sarawak kini mencatatkan satu lagi kawasan yang dikategorikan sangat tidak sihat, iaitu Sri Aman dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 248 setakat setakat pukul 1 tengah hari. 

Manakala SK Kuala Baram 2 setakat 1 tengah hari  masih mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 270 manakala ILP Miri 363 (bahaya) dan Miri 129 (tidak sihat).

Sementara itu, kawasan lain di negeri ini bacaan masih dikategorikan sederhana dengan Limbang mencatatkan IPU 62, Samalaju (73), Bintulu (72), Mukah (65), Kapit (61), Sibu (65), Sarikei (67), Samarahan (71) dan Kuching (74).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai Baik, 51 hingga 100 (Sederhana), 101 hingga 200 (Tidak Sihat), 201 hingga 300 (Sangat Tidak Sihat) dan 300 ke atas (Bahaya).