Anda di sini

Tambadau diperkuat tiga import

Advertisement
AHMET ATAYEV
AHMET ATAYEV

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah bakal meneruskan cabaran dalam saingan Piala Malaysia dengan tiga pemain import selepas kehilangan khidmat Ahmet Atayev yang mengalami kecederaan lutut.

Pemain import tengah berusia 29 tahun dari Turkmenistan itu mengalami kecederaan semasa menentang Pulau Pinang minggu lalu.

"Kecederaannya agak serius dan mungkin beliau perlu menjalani pembedahan. Ia bermakna kami akan meneruskan cabaran dalam saingan Piala Malaysia dengan kekuatan tiga import sahaja.

"Kurang satu tenaga import adalah satu kekurangan tetapi keadaan seperti ini boleh berlaku dalam bola sepak...kami kena bersedia dan akan terus cuba yang terbaik," kata pengurus pasukan Henry Saimpon ketika dihubungi di sini kelmarin.

Ia adalah kehilangan pemain utama bahagian tengah kedua buat  Sabah di mana pada pertengahan saingan Liga Premier musim ini, Sabri Sahar turut mengalami kecederaan sama dan kini masih dalam proses pemulihan.

Sandaran tenaga import Sabah kini hanya kepada pemain pertahanan Park Tae Su dan dua penyerang, Aguinaldo Mendes serta Rodoljub Paunovic.

HENRY SAIMPON
HENRY SAIMPON

"Kami masih ada cukup pemain. Bahagian tengah akan disandarkan sepenuhnya kepada pemain tempatan tetapi saya percaya mereka juga mampu menggalas tugas itu. Ini juga peluang untuk membuktikan kemampuan mereka," kata Henry.

Sabah dalam situasi sukar selepas tanpa sebarang mata ekoran kalah dua perlawanan pertamanya untuk berada di kedudukan tercorot di kalangan empat pasukan saingan Kumpulan C.

Kedua-dua perlawanan yang diharungi di tempat lawan itu menyaksikan Sabah tewas 3-0 kepada Perak dan kecundang 1-2 di tangan Pulau Pinang.

Skuad bergelar Tambadau bimbingan Jelius Ating itu akan meneruskan dua perlawanan berikutnya menentang pendahulu kumpulan, Pahang.

Pahang kini mendahului Kumpulan C selepas mengumpul maksimum enam mata manakala Perak dan Pulau Pinang masing-masing memiliki tiga mata selepas dua perlawanan

Pertemuan pertama Sabah dan Pahang pada Sabtu ini (17 Ogos) adalah perlawanan terakhir pusingan pertama  kedua-dua pasukan sebelum mereka bertembung semula untuk perlawanan pertama pusingan kedua di Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 24 Ogos.

Selepas itu, Sabah akan menamatkan saingan peringkat kumpulan dengan dua perlawanan berturut-turut di tempat sendiri iaitu menentang Pulau Pinang pada 14 September dan Perak pada 18 September.

Hanya dua pasukan teratas akan layak ke pusingan suku akhir. Sabah mensasarkan tempat ke separuh akhir.

Kedudukan

Kumpulan A    P    M    S    K    J    B    MT
1. Terangganu FC    2    2    0    0    5    1    6
2. Kedah    2    1    0    1    3    3    3
3. PKNS FC    2    1    0    1    3    4    3
4. N Sembilan    2    0    0    2    2    5    0

Kumpulan B    P    M    S    K    J    B    MT    
1. JDT    2    2    0    0    7    3    6
2. PKNP FC    2    1    0    1    3    2    3
3. PJ City FC    2    1    0    1    4    5    3
4. UiTM FC    2    0    0    2    1    5    0

Kumpulan C    P    M    S    K    J    B    MT
1. Pahang    2    2    0    0    6    1    6
2. Perak    2    1    0    1    3    3    3
3. P Pinang    2    1    0    1    3    4    3
4. Sabah    2    0    0    2    1    5    0

Kumpulan D    P    M    S    K    J    B    MT
1. Selangor    2    1    1    0    3    2    4
2. PDRM    2    1    0    1    5    6    3
3. Melaka Utd    2    1    0    1    3    2    3
4. Felda Utd    2    0    1 1    5    6    1

  • oleh
  • Advertisement