Anda di sini

Syukur, Azim ditemui selamat

Advertisement
 Gambar yang dikongsi warganet menunjukkan mangsa sedang makan ketika ditemui di sebuah kedai makan.
DITEMUI: Gambar yang dikongsi warganet menunjukkan mangsa sedang makan ketika ditemui di sebuah kedai makan.

KUCHING: Abdul Azim Ahmad Dzulkarnain yang dilaporkan hilang sejak Ahad lepas ditemui selamat di sebuah kedai makan di Batu 3, Jalan Sungai Maong di sini sekitar jam 11.45 malam kelmarin.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Aidil Bolhassan berkata, kanak-kanak berusia 11 tahun terbabit ditemui seorang pengawal keselamatan yang berjaya mengecamnya selepas terbaca hebahan ‘Nur Alert’ berhubung kehilangan mangsa.

Kanak-kanak terbabit kemudian diserahkan kepada anggota polis untuk dihantar kepada keluarganya.

“Mangsa telah menghabiskan masa berada di kedai makan tersebut dan dijaga serta diberi makan oleh seorang pekerja kelainan upaya (OKU) di kedai berkenaan yang hanya dikenali sebagai ‘Abang Man.’

“Malah ketika ditemui dia juga sedang makan dan pemeriksaan mendapati tiada kecederaan pada kanak-kanak terbabit,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mangsa kemudian diserahkan kepada keluarganya yang menetap di Perumahan Pertahanan Awam MINDEF di sini.

“Punca kanak-kanak tersebut lari dari rumah adalah kerana takut dimarahi ibunya kerana kenakalannya,” kata Aidil.

Mangsa dilaporkan hilang oleh ibunya sekitar jam 3 pagi pada Ahad lalu selepas  dia disedari tiada di bilik tidurnya dari jam 12.30 pagi hari yang sama.

Advertisement