Anda di sini

SOP ‘ke laut’

Advertisement
 Uggah sambil ditemani yang lain melawat benteng api iaitu lorong yang dibina khas bagi menghalang api daripada merebak dalam kawasan hutan paya gambut di Miri, semalam.
TINJAU: Uggah sambil ditemani yang lain melawat benteng api iaitu lorong yang dibina khas bagi menghalang api daripada merebak dalam kawasan hutan paya gambut di Miri, semalam.

MIRI: Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas kesal dengan penyelarasan pengurusan bencana yang tidak menepati prosedur operasi standard (SOP) dan persetujuan-persetujuan yang telah dicapai sebelum ini.

Beliau berkata, mesyuarat bersama ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri di sini petang semalam mendapati penyelarasan pengurusan agak kurang, sekali gus menyebabkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) terpaksa bertindak hampir ‘sendirian’ menangani kebakaran hutan di Miri dan juga di seluruh negeri.

“Langkah-langkah yang dulu telah kita persetujui nampaknya tidak dilaksanakan dan sebagainya.

“Jadi, saya minta semua Residen di setiap bahagian untuk mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat bahagian untuk bersiap sedia menghadapi musim kering dan kemarau yang dijangka berpanjangan sehingga Oktober,” ujarnya.

Beliau mengingatkan masalah air adalah yang utama dan di beberapa tempat akan berlaku ketiadaan sumber air, maka jentera pengurusan bencana di setiap bahagian perlu berkordinasi sesama mereka sebaik mungkin untuk menyelesaikan masalah itu kelak.

“Begitu juga kalau ada kebakaran, segala SOP yang telah ditetapkan perlu dipatuhi. Jadi petang tadi (mesyuarat bersama jawatankuasa semalam), kita telah mengimbas kembali persetujuan yang telah kita capai bersama dan membincangkan masalahnya.

“Seperti yang berlaku di Miri, sejak beberapa hari lalu mereka (JBPM) bekerja sendirian, malah terpaksa mendapatkan bantuan daripada Kuching (pasukan STORM),” ujarnya kesal.

“Sedangkan setahun yang lalu, kita ada pasukan bomba, tentera, polis, Jabatan Pertahanan Awam (APM) dan lain-lain agensi, semuanya saling bekerjasama dan tidak timbul isu tenaga kerja,” ujarnya dan berkata perkara itu tidak berlaku pada kali ini dan tiada dalam senarai.

“Jadi saya mahu ia bermula esok (hari ini), semua penyelarasan perlu diperkuatkan dan ahli-ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana bahagian, digerakkan untuk mengambil bahagian kerana ia sepatutnya bukan menjadi satu isu atau masalah,” tambah beliau.

Beliau memberitahu demikian kepada pemberita pada sidang media di Menara Peninjau, di Tudan dekat sini petang semalam untuk melihat dengan lebih dekat kawasan kebakaran terutama di kawasan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Miri dan Kompleks Hamidah.

Hadir sama mengiringi beliau ialah Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin merangkap ADUN Senadin, ADUN Piasau Datuk Sebastian Ting, Pengarah JBPM Sarawak Khirudin Drahman, Ketua JBPM Zon 6 Law Poh Kiong serta ketua-ketua jabatan dan agensi yang lain.

“Bagi pihak rakyat Miri dan negeri ini amnya, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan bomba dan penyelamat kerana telah bertungkus-lumus yang hampir kesemuanya dilakukan oleh mereka bersendirian untuk memadamkan api dan kebakaran hutan atau belukar di 75 ‘hotspot’ (titik panas) di seluruh negeri,” ujar Uggah lagi.

Pada masa sama, Uggah mahu peruntukan RM600,000 untuk Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Miri dimanfaatkan sebaiknya termasuk membeli keperluan aset untuk pemadaman api di kawasan sukar, seperti jentera berat.

Katanya, sejak beberapa hari lepas juga pasukan bomba di sini terpaksa menggunakan jentera berat milik syarikat atau tuan punya tanah bagi membantu mereka dalam usaha pemadaman itu dan ia tidak harus menjadi masalah kerana jawatankuasa sudah mempunyai peruntukan sewajarnya untuk tujuan seperti itu.

Ketika ditanya mengenai sama ada cuti sekolah akan dipanjangkan bagi sekolah yang terletak di kawasan terjejas teruk dengan jerebu Uggah berkata, Kementerian Pendidikan mempunyai garis panduannya sendiri dan jika indeks pencemaran udara (IPU) mencatatkan bacaan tidak sihat, maka kementerian itu akan mengeluarkan arahan sewajarnya termasuk menutup sekolah jika perlu.

Di peringkat kerajaan negeri pula katanya, pihaknya menerusi Jabatan Alam Sekitar akan mengedarkan topeng muka untuk pelajar terutama di kawasan yang terjejas jika masalah jerebu masih melanda apabila sesi persekolahan dibuka semula Isnin depan.

  • oleh
  • Advertisement