Anda di sini

Sebutan semula kes pecah amanah dana FAS ditangguh, hakim tarik diri

 

KUCHING: Hakim Mahkamah Sesyen, Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad menarik diri daripada mendengar kes pecah amanah melibatkan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) Ismail @ Razali Dolhan. 

Hal ini untuk memastikan integriti prosiding dipelihara serta mengelakkan kemungkinan berat sebelah kerana Dayang mengenali Razali dan keluarganya. 

Kes pecah amanah berkenaan dijadualkan untuk disebut semula pada hari ini, namun ditangguhkan ke 20 Ogos depan.

Mahkamah juga mengarahkan kes untuk didengar di hadapan Hakim Marutin Pagan. 

Tempoh ikat jamin bagi Razali juga dilanjutkan sehingga pengurusan kes berlangsung pada minggu depan itu.

Razali mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada 2 Ogos lalu atas tiga pertuduhan penyelewengan dana FAS berjumlah RM191,298.70 yang dilakukannya pada 2017.

Razali yang kini merupakan ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi 14 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Razali diikat jamin RM8,000 dengan dua penjamin tempatan serta diarahkan untuk melaporkan diri ke Balai Polis Gita dua minggu sekali.