Anda di sini

Sasaran liputan elektrik sepenuhnya di landasan betul

Advertisement
 Dr Abdul Rahman mengagihkan daging korban di Surau-Ar Rahman Kampung Temedak Melayu di Kuching kelmarin.
TERIMALAH: Dr Abdul Rahman mengagihkan daging korban di Surau-Ar Rahman Kampung Temedak Melayu di Kuching kelmarin.

KUCHING: Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi yakin sasaran 100 peratus liputan elektrik di seluruh Sarawak mampu dicapai menjelang 2025.

Beliau berkata, ia berikutan daripada usaha berterusan Kementerian Utiliti dan Sarawak Energy Berhad (SEB).

Menurutnya, liputan elektrik di kawasan bandar di negeri ini tidak berdepan masalah namun masih ada penempatan di luar bandar masih belum menikmati kemudahan elektrik 24 jam.

“Meskipun ada penempatan yang belum menikmati bekalan elektrik 24 jam terletak jauh dan terpencil, namun kerajaan negeri tetap berusaha untuk menerangi kawasan tersebit termasuk di Long Busang Belaga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ibadah Korban 1440H/2019M di Surau-Ar Rahman Kampung Temedak Melayu di sini, kelmarin.

Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai berkata, untuk kawasan jauh di pedalaman yang tidak tercapai grid utama, Kementerian Utiliti dan SEB  membekalkan elektrik menerusi pemasangan panel solar atau membina hidro mini.

Sehubungan itu katanya, beliau menetapkan semua rumah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai mendapat bekalan elektrik 24 jam menjelang 2020.

“Ini sasaran kita untuk menyalurkan elektrik ke rumah lama yang tertunggak daripada projek BELB  yang lalu dan juga, rumah-rumah baharu,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau menasihati setiap lapisan masyarakat agar sentiasa memeriksa pendawaian elektrik  di rumah masing-masing bagi mengelak berlaku insiden tidak diingini.

Majlis itu merupakan anjuran Pertubuhan Kebajikan Pekerja Islam (PKPI) SEB, JKKK Kampung Temedak Melayu dan Surau Ar-Rahman.

Hadir sama Timbalan Pengurus Kanan SEB Sulaiman Abdul Hamid dan Pengerusi PKPI SEB Raden Chekra Muda.

Advertisement