Anda di sini

Pendidikan Sivik dilaksanakan secara bersepadu dan holistik

Advertisement
 Dr Mahathir (tiga kiri) melihat murid SK Taman Megah, Petaling Jaya, Ian Hariz Ansyar Yahya, 8, melengkap logo pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Puspanitapuri, Putrajaya dekat Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua kiri) dan timbalannya Teo Nie Ching (kiri). — Gambar Bernama
RASMI: Dr Mahathir (tiga kiri) melihat murid SK Taman Megah, Petaling Jaya, Ian Hariz Ansyar Yahya, 8, melengkap logo pelancaran Pendidikan Sivik Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia di Puspanitapuri, Putrajaya dekat Putrajaya, semalam. Turut hadir Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik (dua kiri) dan timbalannya Teo Nie Ching (kiri). — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Pelaksanaan Pendidikan Sivik di sekolah yang bermula sejak Jun lepas (2019) dilakukan secara bersepadu dan holistik dengan penekanan terhadap literasi sivik dan amali sivik, kata Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

“Pelaksanaannya dilakukan di dalam dan di luar bilik darjah yang melibatkan pihak sekolah, komuniti, swasta dan kementerian,” katanya pada majlis pelancaran Pendidikan Sivik oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini semalam.

Pendidikan Sivik dilaksanakan selama sejam pada minggu keempat setiap bulan dalam waktu mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sejarah.

Kanak-kanak di prasekolah pula akan diajar pendidikan sivik selama 30 minit, dan dalam masa yang sama, Pendidikan Sivik turut dilaksanakan dalam perhimpunan dan aktiviti kurikulum, katanya.

Menurut Maszlee, modul, konsep dan pendekatan baharu dalam Pendidikan Sivik di semua sekolah peringkat prasekolah, sekolah rendah dan menengah di seluruh negara dilaksanakan atas impian dan nasihat Dr Mahathir.

“Anak-anak kita akan mengenal nilai-nilai murni dan etika. Mereka juga akan diajarkan apakah itu pengetahuan kewarganegaraan,” katanya.

Menurut Maszlee, pihaknya telah menyediakan perincian pemetaan pendidikan sivik dan membangunkan modul exemplar pendidikan sivik, manual perhimpunan sekolah dan amalan nilai murni serta manual amalan pendidikan sivik dalam kurikulum untuk membantu guru melaksanakan pendidikan sivik.

Katanya, beberapa pihak swasta turut tampil membantu mempromosi nilai-nilai sivik yang diajar di sekolah agar dapat juga dipromosikan di luar sekolah.

Maszlee berkata, pendidikan sivik adalah untuk membentuk seorang warganegara yang mengetahui hak, bertanggungjawab dan berakhlak mulia untuk menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat dan negara.

“Anak-anak kita akan belajar integriti, amanah, rajin bekerja, berdisiplin, membenci rasuah dan salah guna kuasa, bahayanya buli, pentingnya menghargai golongan kurang upaya, pentingnya saling menghormati perbezaan satu sama lain, perpaduan serta cintakan tanah air,” katanya.

Ditanya mengenai hasrat pemimpin DAP yang akan membangkitkan lagi isu pelaksanaan seni khat dalam mesyuarat Kabinet hari ini, Maszlee yang ditemui selepas majlis pelancaran itu berkata beliau bukan anggota DAP dan meminta soalan itu diajukan kepada anggota DAP.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga Menteri Kewangan dilaporkan sekali lagi akan membawa usul untuk menilai kembali pelaksanaan seni khat atau tulisan jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Tahun Empat dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Kali pertama membangkitkan isu sama pada 7 Ogos lalu, Lim memaklumkan Kabinet hanya bersetuju pelaksanaannya bukanlah wajib tetapi pilihan. — Bernama

Advertisement