Anda di sini

Pemikiran umat Islam perlu berpaksi kepada pendidikan

 Abang Johari menyampaikan sumbangan daging korban kepada ketua kaum yang mewakili asnaf di Miri, kelihatan sama (dari dua kanan) Lukanisman dan Rosey serta (dari tiga kiri) Ting, Dr Abdul Rahman dan Abdillah.
BANTUAN: Abang Johari menyampaikan sumbangan daging korban kepada ketua kaum yang mewakili asnaf di Miri, kelihatan sama (dari dua kanan) Lukanisman dan Rosey serta (dari tiga kiri) Ting, Dr Abdul Rahman dan Abdillah.

MIRI: Pemikiran umat Islam di Sarawak perlu berpaksi kepada pendidikan untuk memastikan mereka terus maju seterusnya memberi manfaat kepada masyarakat dan pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, mereka bukan hanya mengorbankan masa untuk beribadah namun pada masa yang sama melengkapkan diri dengan menimba ilmu dan pengetahuan terkini seiring dengan kehendak semasa.

Beliau berkata, pengorbanan juga boleh dianggap keupayaan manusia yang mempunyai akal untuk berfikir cara mana mewujudkan suasana yang dapat menambah nilai.

“Pemikiran umat Islam kita harus berpaksi kepada pendidikan kerana jika kita ada pendidikan dan ilmu yang cukup maka pemikiran itu dapat digunakan untuk manfaat masyarakat lain.

“Ajaran Islam sendiri menekankan kepada umatnya betapa pentingnya ilmu pendidikan agar ia dapat dimanfaatkan untuk membangun masyarakat di sekeliling,” katanya berucap pada Majlis Ibadah Korban di Masjid Darul Ehsan, Piasau di sini semalam.

Majlis korban tersebut dianjurkan oleh Lembaga Amanah Kebajikan Melayu Miri (LAKMM) dengan kerjasama Masjid Darul Ehsan dan Pertubuhan-pertubuhan Islam di Miri.

Dalam konteks ini, Abang Johari mahu umat Islam menyelami hakikat pengorbanan dan mengaitkannya dengan hala tuju pembangunan agar mereka setanding dengan kaum lain.

“Islam pernah mendahului umat lain di dunia dengan kemajuan dari sudut sains dan matematik sehingga lahirlah ilmu algebra dan algoritma, yang dihasilkan oleh ilmuan Islam sehingga memberi kesan kepada tamadun manusia.

“Namun selepas 700 tahun, kita sudah ‘layap’ (lalai) sehingga orang lain menguasai ilmu. Bukan niat saya mengatakan orang lain tidak boleh menguasai ilmu tetapi kita mesti setanding dengan mereka,” katanya.

Sehubungan itu katanya, kerajaan di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan beliau menggerakkan pembangunan berteraskan teknologi digital kerana ia dapat menambah nilai sektor ekonomi negeri khususnya dalam bidang pertanian.

“Kalau kita menganalisis, teknologi digital itu menggunakan ilmu algoritma yang dijana oleh ilmuan Islam. Maka kita hendaklah melengkapkan diri dengan ilmu terkini.

“Bermakna kalau kita dapat menambah hasil pertanian dan produk dengan cara baharu, ia dapat menambah jumlah makanan yang dikehendaki manusia sejagat. Ini juga satu pengorbanan tenaga dan ilmu yang memberi manfaat kepada manusia,” kata Abang Johari.

Beliau mahu umat Islam di sini mengorbankan masa, kepentingan dan pemikiran untuk memastikan generasi atau anak-anak dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan pengetahuan Internet.

“Pemberian bantuan khas kepada ibu melahirkan anak sebagai salah satu pengorbanan kerajaan negeri untuk meringankan beban ibu yang melahirkan anak.

“Ini adalah salah satu pengorbanan kita untuk mengurangkan beban golongan ibu berikutan kenaikan kos sara hidup. Saya percaya sekiranya kita berpegang kepada semangat pengorbanan, Allah SWT akan menambah dana negeri ini,” katanya.

Beliau dalam pada itu turut memuji usaha LAKMM dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terus memikirkan cara untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat Islam di sini.

Mengulas keadaan jerebu yang melanda Miri, katanya kerajaan negeri akan memantau situasi ancaman jerebu dari semasa ke semasa dan mengambil langkah sewajarnya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas akan membincangkan pendekatan terbaik untuk memulihkan kualiti udara di ini.

“Saya peka dengan masalah jerebu yang berulang seperti tahun lepas. Justeru saya menasihati semua pihak mengambil langkah menjaga kesihatan dan mengurangkan aktiviti di luar,” katanya.

Turut hadir Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Rosey Yunus, Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Pengerusi LAKMM Datuk Abdillah Abdul Rahim, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau Datuk Sebastian Ting dan ADUN Lambir Ripin Lamat.