Anda di sini

Paras air semakin merosot, penduduk dinasihati berjimat cermat guna air

 Juanda (baju putih, tengah) bersama penduduk yang hadir pada penyerahan tangki air baru-baru ini.
RAKAM KENANGAN: Juanda (baju putih, tengah) bersama penduduk yang hadir pada penyerahan tangki air baru-baru ini.

MUKAH: Penduduk di sini dinasihati agar mula berjimat cermat apabila menggunakan air dalam kehidupan seharian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya berkata, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) telah memaklumkan bahawa paras air semakin merosot akibat musim kemarau.

“Musim kemarau tidak dapat dielakkan dan pihak JBALB juga memaklumkan bahawa paras air juga semakin merosot,” katanya pada penyerahan tangki air kepada lapan rumah panjang dan kampung di sepanjang Batang Igan baru-baru ini.

Sebanyak 196 tangki air diagihkan mengikut keperluan dan bilangan penduduk di kawasan dimaksudkan.

Turut hadir Residen Mukah Hamdiah Bakir dan Pegawai Daerah Matu Wan Hipni Wan Mohamad.

Menurutnya, pemberian tangki air itu merupakan salah satu kemudahan supaya penduduk di kawasan itu dapat menggunakannya dan memudahkan aktiviti harian mereka.

Walaupun sementara, ia diharap dapat memenuhi keperluan penduduk kerana projek perpaipan akan menyusul setelah jalan di kawasan itu siap kelak.

“Projek perpaipan turut termasuk di kawasan Kampung Kebuaw, tetapi ia akan menyusul setelah jalan raya dari Igan ke Sungai Ilas dan ke Bungan Kecil siap nanti,” jelasnya.

Pada masa sama, Juanda turut mengalu-alukan aduan daripada akar umbi tetapi hendaklah berserta laporan dan bukti.

Ini bagi memastikan aduan berkenaan bukanlah aduan palsu dan tindakan segera dan tepat boleh diambil.

Tambahnya, ia merupakan salah satu cara kerja yang diamalkan di bawah kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang amat mementingkan kesejahteraan rakyat.