Anda di sini

Murray pasrah biarpun ‘melakukan yang terbaik’

Advertisement
MURRAY
MURRAY

CINCINNATI, Amerika Syarikat (AS): Jaguh Britain, Andy Murray, berkata beliau “melakukan yang terbaik” pada perlawanan perseorangan pertama beliau sejak tujuh bulan walaupun tewas 6-4 dan 6-4 kepada Richard Gasquet pada kejohanan Siri Master Cincinnati di sini Isnin lepas.

“Saya sebenarnya tidak tahu apa yang boleh dijangkakan,” kata Murray, yang tidak bermain sejak bulan Januari kerana kecederaan yang boleh mengancam kariernya. “Saya bermain dengan baik.

“Ada banyak perkara yang mahu saya lakukan dengan lebih baik pada perlawanan ini tetapi anda juga harus menerima perkara realistik dari apa yang anda jangkakan, tentang bagaimana anda sebenarnya bermain dan memukul bola.”

Murray berkata beliau “berasa cergas dari segi fizikal,” sepanjang perlawanan.

“Kami saya berasa sedikit berat pada akhir perlawanan. Apabila Richard melakukan pukulan pendek, ada ketikanya saya tidak mampu berlari atau bertindak balas.

“Ia tidak mempunyai kaitan dengan (kecederaan) pinggul saya, ia hanya saya tidak bertindak-balas.”

Murray tidak beraksi perlawanan perseorangan sejak tewas lima set di pusingan pertama Terbuka Australia, di mana beliau membayangkan karier beliau akan berakhir ekoran kecederaan.

Sejak menjalani pembedahan memulihkan kecederaan pinggul pada 28 Januari, beliau kembali ke sukan tenis secara perlahan-lahan.

Beliau bermain acara bergu selama dua bulan terakhir, memenangi kejuaraan di Queen’s Club di London ketika berpasangan dengan Feliciano Lopez.

Gasquet bagaimanapun ternyata terlalu kuat untuk Murray, yang pernah muncul juara di sini pada 2008 dan 2011.

Murray juga menjelaskan beliau berasa yakin dapat memperbaiki lagi permainannya dalam acara perseorangan.

“Saya fikir dengan lebih banyak minggu latihan dan beberapa perlawanan kompetetif, saya boleh bermain dengan lebih baik,” kata Murray, yang mengumumkan selepas perlawanan di mana beliau tidak berhasrat untuk bermain perlawanan perseorangan di Terbuka AS.

“Saya tidak akan bermain perlawanan perseorangan di Terbuka AS,” kata beliau sambil menambah penganjur Terbuka AS mahukan pengesahan menjelang Isnin lepas jika beliau mahu menerima penyertaan wildcard untuk acara perseorangan.

Pada perlawanan lain, bekas juara Terbuka AS, Marin Cilic, juga pulang awal dari kejohanan apabila tewas kepada Radu Albot 6-4 dan 7-6(8/6).

Pemain tuan rumah, Sam Querrey, yang diberikan penyertaan wildcard, menempah pertemuan di pusingan kedua menentang pilihan pertama kejohanan, Novak Djokovic selepas menewaskan Pierre-Hugues Herbert dari Perancis 7-6(7/2) dan 7-6(7/1).

Juara tujuh kali, Roger Federer, akan hanya memulakan kejohanan di pusingan kedua menentang Juan Ignacio Londero dari Argentina, yang menewaskan Matteo Berrettini dari Itali 7-6(7/3) dan 6-3. — AFP

Advertisement