Anda di sini

Mayat dijumpai di kawasan operasi SAR Nora Anne

 Kenderaan Forensik PDRM memasuki kawasan berdekatan resort dimana mayat dipercayai Nora ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam. — Gambar Bernama
DIJUMPAI: Kenderaan Forensik PDRM memasuki kawasan berdekatan resort dimana mayat dipercayai Nora ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) semalam. — Gambar Bernama

NILAI: Mayat, dipercayai seorang wanita, ditemui kira-kira dua kilometer dari resort The Dusun, Pantai di sini, selepas 10 hari remaja Ireland Nora Anne Quoirin, dilapor hilang ketika menginap di resort itu bersama keluarganya.

Mayat itu ditemui pada jam 1.57 tengah hari dan setakat ini polis belum mengesahkan identiti mayat itu.

“Mayat ditemui dalam keadaan sempurna. Mayat dalam keadaan baik dan kami akan panggil wartawan untuk sidang media dalam beberapa jam lagi,” kata Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusof di sini.

Sidang media membabitkan kumpulan media tempatan dan media asing dijadual diadakan oleh Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Mazlan Mansor.

Berita penemuan mayat itu mula ‘dihidu’ kumpulan wartawan sekitar jam 2.30 petang semalam apabila polis menutup laluan ke resort itu dengan memasang pita garisan kuning iaitu penanda kawasan siasatan jenayah.

Serentak itu media juga diarah untuk kekal berada di khemah pusat operasi mencari dan menyelamat (SAR) di pintu masuk sebuah resort di Pantai, Seremban di sini.

Kawasan itu mula ‘sibuk’ dan kelihatan sepasukan anggota SAR mula bergegas lari turun ke satu lagi pintu masuk resort berkenaan, yang disusuli petugas media yang ingin tahu apa yang berlaku.

Unit Forensik Polis dan bomba dilihat memasuki kawasan itu pada jam 3.15 petang.

Mohamad berkata setakat ini keluarga Nora Anne belum lagi dibawa ke kawasan penemuan itu untuk pengecaman mayat.

Sementara itu, dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam oleh Lucie Blackman Trust, sebuah badan amal Britain yang memberi sokongan kepada warganya semasa menghadapi krisis di luar negara, berkata: “Pada masa ini kami tidak dapat mengesahkan ia adalah Nora. Bagaimanapun, dukacita bahawa kemungkinan itu ada. Siasatan sedang dijalankan untuk mengesahkan identiti dan punca kematian.”

Nora Anne, 15, disedari hilang dari bilik penginapannya di sebuah resort di pantai oleh keluarganya pada jam 8 pagi 4 Ogos. Remaja yang mengalami masalah pembelajaran itu tiba bersama keluarga di Malaysia pada 3 Ogos untuk percutian dua minggu di negara ini.

Berikutan laporan kehilangannya yang turut mendapat liputan media antarabangsa, pihak berkuasa melancarkan operasi mencari dan menyelamat remaja itu membabitkan lebih 300 orang daripada unit-unit dalam Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia, Jabatan Perhutanan negeri, Sapura serta penduduk tempatan.

Kelmarin, keluarga remaja itu menawarkan ganjaran RM50,000 kepada sesiapa yang dapat memberi maklumat sehingga gadis itu dijumpai.

Selain liputan harian oleh media antarabangsa, polis dari Ireland, England dan Perancis juga dilapor berada di Malaysia bagi membantu siasatan kes kehilangan remaja itu. — Bernama