Anda di sini

Lelaki nafi lima tuduhan menipu

Advertisement
 Tang dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan menipu.
LIMA KES: Tang dibawa keluar dari mahkamah selepas didakwa atas tuduhan menipu.

SIBU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas lima pertuduhan menipu membabitkan tawaran pelbagai perkhidmatan kontrak yang tidak diwujud.

Tang Kah King, 44, dari Sungai Sian, Bintangor didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan atas tuduh menipu lima mangsa termasuk seorang wanita, membabitkan kerugian berjumlah RM22,300.

Seksyen 420 ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan denda jika sabit dengan kesalahan.

Bagi pertuduhan pertama, Tang didakwa menipu seorang pembantu tadbir wanita dikenali sebagai Ling sebanyak RM1,800 bagi kerja-kerja mengubah suai rumah di Lorong Tebu 11 pada 20 Mei, 2019.

Pertuduhan kedua, dia didakwa menipu seorang jurujual lelaki dikenali sebagai Ling sebanyak RM4,000 bagi membeli dan memasang dua set pintu aluminium pada 24 Mei, 2019 kira-kira jam 9 pagi di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad yang mendengar kes, membenarkan Tang bebas dengan ikat jamin RM2,500 dengan dua orang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Sementara di mahkamah berasingan, Tang didakwa menipu seorang lelaki dikenali sebagai Lee sebanyak RM2,000 membabitkan kerja-kerja membuat kabinet dapur pada 8 Jun, 2019 di Lorong Permai Timur.

Tang turut didakwa menipu seorang tukang masak lelaki dikenali sebagai Lau pada 18 April, 2019 di Lorong Ulu Sungai Merah, membabitkan wang berjumlah RM14,100 bagi kerja-kerja membuat kabinet dapur dan perabot rumah.

Bagi pertuduhan terakhir, dia didakwa menipu seorang pesara lelaki dikenalli sebagai Huang sebanyak RM400 bagi kerja-kerja mengecat dan membaiki pintu rumah pada 3 Julai 2019 di Jalan Poh Yew.

Majistret Syarifah Fatimah Azura yang mendengar kes membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin tunai RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan.

Mahkamah turut menetapkan 4 September ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Advertisement