Anda di sini

Kerajaan GPS sentiasa berusaha sedia kemudahan kepada rakyat

Advertisement
 Julaihi, Len Talif dan Abdullah pada mesyuarat kedua jawatankuasa penganjuran Majlis Pecah Tanah Batang Lassa.
MESYUARAT: Julaihi, Len Talif dan Abdullah pada mesyuarat kedua jawatankuasa penganjuran Majlis Pecah Tanah Batang Lassa.

KUCHING: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa berusaha menyediakan kemudahan kepada rakyat termasuk meneruskan projek pembinaan jambatan di kawasan pesisir negeri ini.

Demikian kata Menteri Muda Jalan Pesisir Datuk Julaihi Narawi kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat kedua jawatankuasa penganjuran Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lassa di Daro semalam.

Jelasnya, pembinaan jambatan di kawasan pesisir negeri ini penting sebagai pelengkap perhubungan yang seterusnya dapat meningkatkan ekonomi rakyat di kawasan terbabit khasnya.

“Apa yang kita (Kerajaan Sarawak) lakukan ini bukan sekadar ingin mencapai matlamat sifar feri tetapi ia juga bertujuan membangunkan kawasan pesisir dan pada masa sama mahu meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat di kawasan berkenaan,” ujarnya

Sehubungan itu, Julaihi berkata penganjuran program itu bukan retorik tetapi membuktikan pelaksanaan projek  Jambatan Batang Lassa dan Jambatan Batang Paloh sudah bermula.

Menurut beliau, jambatan sepanjang 2.43 kilometer (km) yang dijangka siap dalam tempoh 48 bulan dengan kos RM597.58 juta itu merupakan pelengkap jalan pesisir sepanjang 896km di Sarawak, bakal memberi manfaat kepada penduduk khususnya Daro.

“Ini jelas membuktikan Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyatnya termasuk mereka yang tinggal di pedalaman mahupun luar bandar,” kata Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau.

Beliau memberi jaminan setelah siapnya pembinaan jambatan itu nanti, ia sudah tentu memudahkan perhubungan penduduk dari segi penjimatan masa dan kos berbanding terpaksa menyeberangi sungai dan menaiki feri ketika ini.

Julaihi berkata, dijangkakan lebih 6,000 penduduk menghadiri majlis itu yang akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 8 September depan.

Selain perasmian Jambatan Batang Lassa, beliau memberitahu majlis pecah tanah untuk Jambatan Batang Paloh dijangka akan diadakan tahun depan.

Hadir sama pada mesyuarat kedua jawatankuasa tersebut ialah Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh,  Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Korporat) Abdullah Saidol dan Setiausaha Politik Ketua Menteri Abu Seman Jahwie.

Turut hadir Ahli Parlimen Igan Ahmad Johnie Zawawi, ADUN Daro Safiee Ahmad dan ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi.

Difahamkan, kontraktor utama pembinaan Jambatan Batang Lassa ialah Pekerjaan Piasau Konkrit Sdn Bhd manakala Hock Seng Lee Bhd akan membina Jambatan Batang Paloh.

Jambatan Batang Paloh sepanjang 1.7 kilometer membabitkan kos RM298.98 juta dijangka siap pada 7 Mei 2023 dan ia akan menggantikan perkhidmatan feri dari Serdeng ke Pulau Bruit.

Advertisement