Anda di sini

Kastam rampas rokok, minuman keras di dua premis berasingan di Miri

Advertisement
Rokok dan minuman keras yang berjaya dirampas dalam serbuan di dua buah premis di Miri.
Rokok dan minuman keras yang berjaya dirampas dalam serbuan di dua buah premis di Miri.

MIRI: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas rokok dan minuman keras pelbagai jenama dalam serbuan yang dijalankan di dua buah premis berasingan di sini pada Selasa. 

Sebanyak 15,476 batang rokok dan 63.36 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,604.82 dan jumlah cukai sebanyak RM12,312.61 bagi kedua-kedua kes berkenaan. 

Pengarah Kastam Negeri Sarawak Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata dalam serbuan itu, dua orang lelaki ditahan bagi membantu siasatan. 

"Serbuan pertama di sebuah premis di Jalan Miri-Bintulu, Batu 5 Lambir sekitar pukul 1.15 tengah hari berjaya menemui sebanyak 4,060 batang rokok pelbagai jenama dipercayai belum lulus kastam yang disimpan di premis. 

"Rampasan di premis terbabit melibatkan anggaran nilai sebanyak RM324.80 dan jumlah cukai sebanyak RM2,962.18," katanya dalam satu kenyataan media pada Rabu. 

Manakala serbuan kedua pula dibuat di sebuah premis di Jalan Sejahtera Desaras 6, Jalan Tudan sekitar pukul 7.15 malam berjaya menemui sejumlah rokok pelbagai jenama dan minuman keras yang dipercayai belum lulus kastam disimpan di premis. 

"Sebanyak 11,416 batang rokok dan 63.36 liter minuman keras pelbagai jenama dirampas melibatkan anggaran nilai sebanyak RM1,280.02 dan jumlah cukai sebanyak RM9350.43," ujar Sharifah Halimah. 

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 Akta Kastam 1967 di mana jika didapati bersalah, individu terlibat akan dikenakan denda 10 kali ganda nilai barang ataupun seratus ribu ringgit ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-keduanya sekali. 
 

  • oleh
  • Advertisement