Anda di sini

JSJ teruskan siasatan kes rangka manusia dengan kesan terbakar

Advertisement
Anggota JSJ menunjukkan di mana lokasi rangka manusia tersebut ditemui.
SIASAT:Anggota JSJ menunjukkan di mana lokasi rangka manusia tersebut ditemui.

KUCHING: Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) masih menjalankan siasatan berhubung kes penemuan rangka manusia dengan kesan terbakar di Jalan Pelabuhan, Pending Ahad lepas.

Difahamkan, semalam beberapa anggotanya diketuai Ketua JSJ Sarawak SAC Denis Leong Soon Kuai bersama anggota dari Unit Anjing Pengesan Polis (K9) berada di lokasi sejak jam 10 pagi.

Denis yang ditemui pemberita berkata, pihaknya hanya dapat mengesahkan mayat tersebut adalah mayat orang dewasa, namun identitinya masih belum dapat dipastikan.

“Mayat adalah mayat orang dewasa dan kita masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti identiti mangsa,” katanya.

Selain itu, sampel tanah di lokasi kejadian juga telah diambil untuk mengenal pasti bahan api yang digunakan untuk membakar mayat mangsa.

Justeru, orang ramai yang ada melihat kejadian atau mempunyai maklumat berhubung kejadian dimohon untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

“Kita percaya, untuk membakar mayat manusia memerlukan api yang besar dan sekiranya ada orang awam yang melihat ‘api besar’ di lokasi kejadian dapat menghubungi kita untuk membantu siasatan,” katanya.

Kelmarin dilaporkan penemuan rangka manusia tersebut oleh dua lelaki sekitar jam 1.16 pagi semasa mereka sedang mencari besi buruk berdekatan lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Awang Din Awang Gani dalam kenyataan akhbarnya memberitahu keadaan mayat secara keseluruhannya adalah rentung atau abu.

“Bahagian tulang yang dapat dikenal pasti adalah tulang kaki, pinggul dan tengkorak manusia.

“Tiada sebarang dokumen dijumpai di kawasan sekeliling semak tersebut,” katanya yang turut memberitahu kes tersebut disiasat sebagai kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

  • oleh
  • Advertisement